Nilai ekonomi hitam dianggar sekitar RM300 bilion

A
A
A

SHAH ALAM - Nilai ekonomi hitam di Malaysia dianggarkan bernilai sekitar RM300 bilion.

Pakar ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, nilai itu juga bersamaan kira-kira 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Ahmed Razman berkata, sekiranya cukai berjumlah 25 peratus dikenakan ke atas RM300 bilion itu, negara berkemungkinan kehilangan RM75 bilion hasil.

Menurutnya, ekonomi hitam itu bukan sahaja aktiviti ekonomi haram yang tidak dilaporkan atau dipantau oleh kerajaan, malah ia aktiviti ekonomi melibatkan pertukaran produk dan perkhidmatan.

“Kaedah terbaik menangani ekonomi hitam ialah kempen berterusan kepada masyarakat supaya masyarakat dapat melaporkan kegiatan haram ini kepada pihak berkuasa.

“Selain itu, kesedaran dalam kalangan pembayar cukai juga penting supaya mereka melaporkan kesemua punca pendapatan mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohammed Hanif Omar berkata, gerakan ekonomi hitam bertambah besar disebabkan ada penguat kuasa yang menerima rasuah tidak mengambil tindakan terhadap pengendali gerakan berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmed Radzman berkata, sistem pangkalan data individu dan syarikat juga harus menggunakan teknologi terkini seperti block chain supaya urusan pengesanan pendapatan lebih cekap dan telus.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mungkin sudah tiba masa untuk Malaysia mengikut langkah kerajaan China dan beberapa negara lain seperti Jepun dan Australia yang akan memperkenalkan ‘Central Bank Digital Currency’ bagi menggantikan wang kertas fizikal dengan wang elektronik.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, ekonomi hitam adalah satu istilah yang dikaitkan dengan ekonomi bawah tanah kerana ia tidak kelihatan, tidak formal dan tidak dinilai sumbangannya kepada KDNK.

Beliau berkata, ia seperti ekonomi wanita yang bekerja di rumah, sumbangan tidak dikira dan selalunya tidak dianggap sebagai penyumbang ekonomi.

“Secara khususnya, ekonomi hitam memang tiada data atau statistik rasmi.

“Namun ekonomi hitam itu mudah dimasuki kerana ia sektor tidak formal atau tidak dinilai,” katanya.

Bagaimanapun Madeline menjelaskan, dalam jangka masa panjang ia akan mewujudkan ruang penyelewengan aktiviti yang boleh membawa kepada rasuah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!