Khutbah Jumaat fokus bahaya rasuah
SHAH ALAM - Masyarakat dilihat mula memandang serius impak jenayah rasuah yang menular di Malaysia.
Kegiatan yang melibatkan pelbagai golongan masyarakat khasnya individu yang berpangkat itu turut diselitkan dalam khutbah Jumaat semalam.
Di SELANGOR, pengisian khutbah menyentuh mengenai bahaya budaya rasuah yang membawa kesan kepada kehancuran sesebuah tamadun agama dan bangsa.
Teks yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu menyatakan, perbuatan rasuah merupakan satu bentuk pemerkosaan kejam terhadap sistem kehidupan beragama, masyarakat dan negara.
Jelasnya, Islam menetapkan rasuah sebagai perbuatan dosa besar kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan salah.
“Tidak rasa bersalahkah kita dengan membawa pulang hasil pendapatan untuk membina kemewahan dan meninggalkan legasi haram kepada ahli keluarga serta keturunan?” menurut khutbah tersebut.
Teks khutbah berkenaan memaklumkan, rasuah juga akan menyebabkan tertolaknya ibadah dan doa kerana terkesan daripada sumber haram yang diperoleh tersebut.
“Para pemimpin Islam dalam politik yang memegang tampuk kekuasaan di pelbagai peringkat diingatkan agar tidak menjadi pembuka ruang kepada perbuatan rasuah demi kepentingan kedudukan dan kuasa.
“Berwaspadalah wahai mereka yang memimpin dan berkuasa, anda semua tidak akan terlepas daripada perhitungan di hadapan ALLAH SWT tentang kepimpinan anda hari ini,” katanya.
Di PERAK, intipati teks khutbah Jumaat bertajuk Rasuah Musuh Negara menjelaskan bahawa si pelaku jenayah kolar putih itu dikira sebagai fasiq atau melakukan sesuatu yang menyimpang dari jalan benar dan berdosa besar.
Khutbah tersebut menjelaskan Islam menganggap perbuatan menerima dan memberi rasuah sebagai perbuatan yang jijik, malah Saidina Abdullah bin ‘Amr RA meriwayatkan hadis bermaksud pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.
“Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di tempat sunyi mahupun di tempat yang terang kerana pendinding sebenar perlakuan rasuah ialah takwa dan iman.
“Rasuah juga merupakan penyakit dalam masyarakat. Sesungguhnya rasuah boleh menghancurkan negara, tidak kira dalam kalangan pihak atasan sebagai pentadbir mahupun golongan bawahan.
“Setiap yang melakukan rasuah sama ada pemberi, penerima atau yang bersubahat dianggap sebagai perompak harta rakyat,” jelas khutbah tersebut.
Jelasnya, jika bilangan jenayah rasuah itu terus meningkat, ia akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara kerana sejarah membuktikan terdapat tamadun yang runtuh akibat perbuatan rasuah.
Al-Quran menukilkan kisah cubaan rasuah oleh Puteri Balqis kepada Nabi Sulaiman AS tetapi Baginda menolaknya dengan tegas sepertimana dipaparkan oleh ALLAH dalam surah an-Naml ayat 35 hingga 37.
Mimbar turut mengajak jemaah yang hadir supaya mengambil pengajaran daripada sikap waspada yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dalam menerima hadiah kerana kebanyakan manusia kini tidak lagi menapis sumber rezeki mereka.
“Masyarakat tidak lagi amalkan sifat malu dalam kehidupan seharian, sikap itulah punca rasuah, pecah amanah, berdusta dan sebagainya,” tegas khutbah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!