Kanak-kanak bukan alasan untuk lakukan penderaan

Ghazali Daud -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ghazali Daud -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak tidak boleh disalahkan atau dijadikan penyebab untuk ibu bapa melakukan penderaan walaupun mereka mereka nakal atau terlebih aktif.

Ketua Penolong Pengarah JIP (Agama dan Kaunseling) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Ghazali Daud berkata, terdapat 13 faktor yang membawa kepada penderaan antaranya kewangan, tekanan kerja di pejabat, krisis rumah tangga dan kurang kesedaran tentang agama.

Katanya, faktor berkenaan menyebabkan orang dewasa khususnya ibu bapa gagal mengawal emosi.

"Kebanyakan ibu bapa bukan tiada pengetahuan mengenai isu penderaan gagal mengurus emosi sehingga hilang kawalan apabila dihimpit masalah.

"Sebab itu nak didik emosi, agama adalah yang terbaik. Kena lalui proses tarbiah, ikuti kelas agama dan cari kekuatan dalaman untuk pastikan diri terkawal," katanya pada Wacana al-Quran siri ke-80 bertajuk Bahaya Rantaian Kluster Nafsu: Penderaan yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Turut menjadi panel pada program itu adalah Ketua Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayati Syed Ismail sementara Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan ditemani Qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah al-Isra' ayat 30-31.

Ghazali berkata, jika ibu bapa menjaga agama terutama solat ia mampu mencegah mereka daripada melakukan perbuatan jahat.

"Kalau jaga agama, disiplin dalam solat dipraktikkan, semua akan terjaga dan anak-anak juga tidak akan menjadi mangsa dera atau dijadikan alasan untuk melakukan penderaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ghazali turut menyeru masyarakat untuk kembali menghidupkan konsep kejiranan dan rukun tetangga bagi mengekang perkara-perkara yang boleh mendatangkan isu penderaan.

"Antara punca banyak kes dera berlaku kerana kurang keprihatinan dalam kalangan masyarakat disebabkan mereka sering mengambil pendekatan membiarkan kerana tidak mahu masuk campur dan bimbang risiko ke atas diri jika melaporkan kes tersebut kepada polis.

"Sepatutnya peranan masyarakat menjadi mata dan telinga kepada polis dan kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!