Bom lama jenis UXO ditemui
KOTA KINABALU - Sebutir bom lama dipercayai masih aktif ditemui penduduk di Kampung Mengkadang, Kolombong, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, bom jenis UXO dengan berat hampir 25 kilogram itu dibawa ke Lapang Sasar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lok Kawi untuk dimusnahkan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan selepas menerima laporan.
"Proses pemusnahan bom berjaya dilakukan,"," katanya ketika dihubungi pada hari sama.
Terdahulu, Habibi menasihatkan orang ramai yang menemui sebarang objek mencurigakan atau dipercayai bom diminta segera melaporkan di balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengusik, mengalih atau menggerakkan objek berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!