250kg keropok keping jadi abu
KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha keropok keping mengalami kerugian hampir RM10,000 selepas kedai yang disewanya di Kampung Kuala Ibai di sini terbakar pada Jumaat.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.15 malam itu turut memusnahkan 250 kilogram (kg) keropok keping yang ditempah pelanggan tetapnya.
Mangsa, Muhamad Aidil Harun, 44, berkata, sebelum kejadian dia bersama 11 lagi pekerja berada di luar kedai sementara menunggu proses menyalai keropok berkenaan selesai.
"Beberapa minit kemudian, salah seorang pekerja ada ternampak asap keluar dari bahagian dapur sebelum kami bergegas untuk menyelamatkan apa yang patut tetapi gagal kerana api merebak terlalu cepat.
"Saya percaya kejadian ini berpunca daripada dapur gas yang digunakan untuk menyalai keropok dan sepanjang proses tersebut kami turut menggunakan periuk yang ditutup.
"Mungkin periuk itu terlalu panas dan secara kebetulan beberapa perkakas memasak turut berada berhampiran, jadi daripada situlah punca kebakaran berlaku dan bukannya disebabkan litar pintas. Apa pun saya tunggu siasatan penuh daripada pihak berwajib," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, seramai 18 anggota bersama dua jentera di kejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
"Kami tiba ke lokasi kira-kira jam 7.30 malam dan mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran di premis tersebut.
"Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!