Lantikan politik zaman BN perlu berundur

Mohd Nasri
Mohd Nasri
A
A
A

KEMAMAN - PKR Cabang Kemaman menggesa agar semua lantikan politik zaman BN mengundurkan diri secara terhormat setelah kerajaan kini diterajui PH.

Ketua penerangannya, Mohd Nasri Ismail berkata, mana-mana individu yang menerima jawatan melalui lantikan politik dari kerajaan terdahulu sepatutnya mengundurkan diri kerana pucuk pimpinan sudah berubah.

Menurutnya, sehingga kini masih ramai individu dari lantikan politik BN masih memegang jawatan tersebut dalam syarikat berkaitan kerajaan dan perbadanan, malah mereka juga dilihat secara terang dan terbuka berkempen untuk kerajaan BN pada PRU14 lalu.

“Sebelum ini mereka sudah menjalankan agenda untuk memenangkan BN dalam PRU14 tetapi sekarang mereka masih bebas berada di dalam badan-badan kerajaan PH.

“Hampir setahun kerajaan PH mengambil alih pucuk pimpinan negara, sekarang mereka tanpa perasaan malu masih berada di jawatan lantikan itu di bawah kerajaan PH,” katanya.

Beliau berkata, demi urus tadbir yang baik tanpa unsur sabotaj dan ketelusan daripada amalan kebocoran kerahsiaan, seharusnya mereka yang terlibat melepaskan jawatan dengan penuh hormat atau didesak melepaskan jawatan tersebut.

“Kesemua individu lantikan ini sebenarnya secara diam-diam membina kekuatan BN dari dalam dan mereka juga masih menjadi jentera BN serta berharap BN akan kembali berkuasa di Kerajaan Pusat.

“Peralihan kuasa yang berlaku dalam PRU14 lalu telah jelas dan membawa mesej yang amat penting dalam mengubah senario politik negara. Rakyat tidak lagi mahu BN menerajui kepimpinan kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!