Pemandu teksi buat dua kerja tambah pendapatan
PASIR GUDANG - Beberapa pemandu teksi di bandar raya ini terpaksa melakukan dua kerja bagi menambah pendapatan berikutan jumlah penumpang yang merosot sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Rutin pemandu teksi, Mohd Hafizuddin Juhir, 27, kini sudah berubah kerana mempunyai dua pekerjaan bagi mencari pendapatan yang lebih.
Dia dan pemandu teksi lain terpaksa mencari pekerjaan lain dan tidak lagi boleh bergantung dengan pendapatan membawa teksi demi meneruskan kelangsungan hidup pada masa yang mencabar ini.
"Saya bekerja sambilan sebagai jurujual di sebuah pasaraya bagi menambah pendapatan. Keputusan ini diambil setelah menyedari hasil pencarian sebagai pemandu teksi sejak dua tahun lalu semakin terjejas akibat Covid-19.
"Selepas habis belajar, saya terus menjadi pemandu teksi sementara mencari kerja tetap. Kini saya memandu teksi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sahaja sebelum masuk kerja sebagai promoter di sebuah pasar raya.
"Pendapatan sebagai pemandu teksi memang terjejas. Ada masa hanya mampu peroleh RM30 hingga RM40 sahaja, kadang-kadang pendapatan yang diterima pun tak lepas duit minyak," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Terdahulu Mohd Hafizuddin menerima sumbangan bakul makanan yang diberikan secara pandu lalu kepada 60 pemandu teksi dan bas sekolah di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3 di sini.
Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh dengan diiringi Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Taman Rinting/Sri Plentong, Dzulkifli Suleiman.
Dalam pada itu, Salleh Ghani, 55, turut mengakui pendapatan sebagai pemandu teksi terjejas teruk berikutan kawasan strategik dan menjadi tumpuan orang ramai di bandar raya ini sebelum ini kini sudah suram serta lengang.
"Sebelum ini saya mampu mendapat pendapatan harian antara RM200 hingga RM300 sehari namun selepas PKP dilaksana, nak dapat RM50 pun susah.
"Banyak kawasan tiada pelanggan. Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Terminal Bas Larkin yang menjadi 'lubuk' penumpang sebelum ini pun sudah tiada orang," katanya.
Sementara itu, Che Zakaria berharap, bantuan yang disalurkan itu dapat meringankan beban mereka yang kurang berpendapatan akibat kekurangan penumpang.
"Mereka yang dipilih ini adalah dalam kalangan betul-betul terkesan dan layak daripada keluarga B40. Kita beri 30 bantuan kepada pemandu teksi dan 30 pemandu bas sekolah. Kita akan teruskan bantuan ini kepada 200 pemandu teksi seluruh Pasir Gudang sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!