Pelajar ganggu PdPR dengan video lucah perlu dihukum

Normala Sudirman
Normala Sudirman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pelajar yang mengganggu guru wanita dengan tayangan video lucah ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) baru-baru ini perlu dikenakan hukuman.

Presiden Persatuan Kebajikan Pendidikan Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, langkah itu bagi memberi pengajaran kepada pelajar terbabit selain menjadi iktibar kepada semua pihak.

Menurutnya, sekiranya tiada tindakan diambil dibimbangi perbuatan itu berulang dan pelajar melihatnya sebagai satu kesalahan 'ringan'.

"Pelajar ini mesti meminta maaf kepada guru dan dikenakan hukuman yang bersesuaian dengan peraturan sekolah masing-masing agar berubah sikap dan insaf atas kelakuan biadabnya.

"Ini perbuatan tidak beradab, sikap melampau serta tidak mencerminkan nilai menghormati guru pada saat warga pendidik bertungkus-lumus melaksanakan PdPR walaupun sukar dengan pelbagai cabaran dan kekangan.

"Gangguan seksual ini perlu diambil tindakan dengan memberi amaran dan surat pemakluman kepada ibu bapa agar mengawasi tingkah laku anak-anak yang sedang meningkat remaja walaupun mungkin kes ini kes terpencil," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Semasa sesi PdPR sedang berlangsung di sebuah sekolah di Kepong, Kuala Lumpur pada minggu ini, seorang guru wanita mendedahkan diganggu dengan tayangan video lucah oleh pelajar Tingkatan Satu.

Normala berkata, beliau tidak mahu kaedah PdPR dihentikan hanya disebabkan insiden itu, ibu bapa dan pelajar harus menguasai kemahiran komunikasi melalui media sosial dengan mematuhi adab dan etika agar aspek pencegahan serta amaran dapat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berharap Kementerian Pendidikan dan ibu bapa memahami kesukaran dan tanggungjawab guru menjalankan PdPR.

"Justeru hargailah jasa guru dengan menunjukkan sikap terpuji dan akhlak yang mulia ketika berkomunikasi dengan mereka.

"Adakalanya guru wanita berdepan dilema bukan anak yang mengikuti pembelajaran dalam talian sebaliknya segelintir ayah pelajar yang mengambil kesempatan melihat guru wanita mengajar hingga menimbulkan ketidakselesaan guru ketika melaksanakan PdPR," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!