Tindakan tutup semula sekolah 14 hari sebelum SPM/SMV dipersoal

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia mempersoalkan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia menghentikan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut mempersoalkan persediaan calon menjalani peperiksaan kerana sudah lama tidak menghadapi pembelajaran bersemuka tetapi sudah diberi cuti selama 14 hari.

Menurutnya, ramai pihak menghubungi beliau dan resah dengan keputusan KPM.

"Apakah motif utama KPM membenarkan calon tersebut ‘bercuti’ selama 14 hari sebelum berlangsungnya SPM/SPMV atas alasan bersedia kendiri?

"Apakah kaedah yang akan digunakan oleh guru dalam tempoh 14 hari sebelum peperiksaan ini untuk membantu pelajar?" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Jalaluddin berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia dan KPM perlu mempertimbangkan untuk menurunkan graf markah bagi kedua-dua peperiksaan awam itu memandangkan sesi pembelajaran dan pengajaran calon terganggu tahun lalu.

"Saya harap ibu bapa tabah mengharungi situasi ini. Untuk calon pula, jangan berputus asa walau apa jua kesusahan yang terpaksa dihadapi.

"Saya turut mendoakan pengorbanan pendidik akan mendapat balasan yang baik dari Tuhan Yang Maha Kuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dalam kenyataan berkata, sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan SPM/SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Februari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!