Covid-19 diramal berakhir tujuh tahun lagi

Ketua WHO menggesa pengeluaran secara dramatik vaksin Covid-19. - Foto: AFP
Ketua WHO menggesa pengeluaran secara dramatik vaksin Covid-19. - Foto: AFP
A
A
A

NEW YORK - Persoalan kini timbul tentang bilakah waktu sebenar ancaman Covid-19 akan berakhir selepas ia menjangkiti lebih 105 juta orang dan menyebabkan kira-kira 2.3 juta kematian di seluruh dunia.

Pangkalan data terbesar Covid-19 direka Bloomberg menunjukkan jawapan tersebut boleh diperoleh dengan cara mengukur tahap program vaksinasi yang sedang dilancarkan di kebanyakan negara dan lebih 119.8 juta dos suntikan telah diberikan sehingga awal Februari 2021.

Analisis baharu mereka berdasarkan kadar program vaksinasi meramalkan pandemik tersebut akan berlarutan untuk tempoh tujuh tahun lagi sebelum mencapai sasaran imuniti kelompok.

Selain itu, ia juga bergantung kepada keberkesanan vaksin sedia ada untuk mencegah virus bermutasi yang dikesan di Afrika Selatan, Brazil dan United Kingdom (UK).

Data diperoleh daripada lebih 67 negara juga menunjukkan pemberian lebih 4.5 juta suntikan dos vaksin pada setiap hari yang menyaksikan lebih 119 juta dos suntikan telah diberikan setakat ini.

Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci menganggarkan kehidupan akan kembali normal jika program vaksinasi itu meliputi 70 hingga 85 peratus populasi dunia.

AS yang berada di tangga keenam untuk kadar kecepatan program vaksinasi, ia meramalkan negara itu dapat mencapai tahap imuniti kelompok menjelang Tahun Baharu 2022.

Pada Jumaat, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa penghasil vaksin supaya meningkatkan pengeluaran secara dramatik berikutan jumlah individu yang diberikan dos suntikan vaksin sudah mengatasi angka jangkitan global dan lebih tiga perempat daripada dos vaksin itu diedarkan ke 10 negara kaya.

Artikel Berkaitan:

"Hampir 130 negara dengan 2.5 bilion penduduk masih belum diberikan suntikan dos pertama," ujarnya.

Ketika ini, kira-kira 10 vaksin berbeza termasuk dihasilkan Moderna dan Pfizer-BioNTech telah diberi kelulusan untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia manakala sebanyak 175 vaksin berpotensi dalam fasa penghasilan praklinikal.

Ujian klinikal berskala besar oleh Johnson & Johnson (J&J) baru-baru ini pula menunjukkan keputusan positif dengan hanya menggunakan satu dos suntikan.

Ancaman pandemik itu yang masih tinggi menyebabkan kebanyakan negara terutamanya di rantau Eropah bergelut dengan langkah lockdown dan peraturan lain yang bertujuan untuk membendung penularan wabak tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!