Penasihat ekonomi Suu Kyi jadi warga asing pertama ditahan

Turnell menjadi perunding khas tentang dasar ekonomi kepada Suu Kyi sejak beliau menetap di Nypyidaw pada Disember 2017. - Foto: Agensi
Turnell menjadi perunding khas tentang dasar ekonomi kepada Suu Kyi sejak beliau menetap di Nypyidaw pada Disember 2017. - Foto: Agensi
A
A
A

YANGON - Penasihat ekonomi kepada Aung San Suu Kyi mengesahkan beliau ditahan pada Sabtu beberapa hari selepas penerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 itu dikenakan tahanan rumah susulan insiden rampasan kuasa pada awal minggu lalu.

Warga Australia, Dr Sean Turnell yang merupakan profesor ekonomi di Macquarie University di Sydney dan menjadi perunding khas tentang dasar ekonomi sejak beliau menetap di Nypyidaw pada Disember 2017.

"Saya berdepan dengan tuduhan yang tidak jelas. Saya baik-baik sahaja dan tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya yang turut memaparkan emoji wajah tersenyum.

Difahamkan, ia adalah penahanan pertama terhadap warga asing selepas beberapa pemimpin awam dan anggota parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) ditahan.

Kementerian Luar Australia dalam satu kenyataan menyuarakan kebimbangan terhadap laporan rakyat mereka dan warga asing lain yang diberkas di Yangon.

Ia bagaimanapun tidak menamakan Turnell atau memberikan butiran lanjut tentang identiti warga asing lain seperti didakwa mereka.

"Kedutaan Australia di Yangon sentiasa menghubungi rakyat kami di sana untuk memastikan keselamatan mereka," ujar kementerian itu lagi.

Protes anti rampasan kuasa yang menjadikan reben merah dan tanda hormat tiga jari sebagai simbol gerakan mereka sekali lagi melanda Yangon dan disertai kira-kira 3,000 penunjuk perasaan ketika penutupan akses internet berskala besar kali kedua dilaksanakan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyokong hak rakyat Myanmar untuk mengadakan protes secara aman bagi sebagai tanda tentangan mereka terhadap rampasan kuasa yang menggulingkan pemerintahan awam yang sah di negara itu.

"Kudeta tidak lagi diterima pada era moden dan saya menolak serta menyelar tindakan seumpama itu. Saya menyarankan rakyat negara itu menzahirkan kekecewaan mereka tanpa mencetuskan sebarang insiden keganasan," tegasnya menerusi wawancara eksklusif bersama CNA di Singapura.

Pengguna media sosial di negara itu turut memaparkan gerakan anti rampasan kuasa yang semakin meningkat termasuk kumpulan yang mengetuk periuk dan kuali pada setiap malam. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!