Rasuah politik atau imbuhan?

A
A
A

USAHA Pengerusi Lembaga Penga-rah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang memulakan inisiatif ‘perang’ ke atas rasuah melalui Rasuah Busters perlu diberi pengiktirafan sewajarnya.

Beliau beranggapan ia bukan sekadar menjadi tanggungjawab pihak berwajib tetapi adalah tanggungjawab bersama.

Sistem sokongan menyeluruh yang berpusatkan kepada ‘masyarakat’ akan membantu untuk memerangi gejala tersebut.

Rasuah berlaku dalam segenap aktiviti dan tingkah laku kita termasuk dalam ekosistem politik.

Pemberian dan penerimaan berlaku kerana sudah menjadi ‘budaya’ dan ‘gaya hidup’ segelintir masyarakat sehingga sukar untuk menyenaraikan apakah yang dimaksudkan dengan ‘rasuah politik’.

Ia menjadi amalan secara tidak langsung dalam kehidupan. Ia boleh berlaku secara sulit dan sembunyi, mendatangkan keuntungan yang banyak, melibatkan tipu helah, pecah amanah, salah guna kuasa dan melanggar etika kemasyarakatan termasuk makan suap, ugutan serta pilih kasih.

Ia sudah lama membiak dan kini dikatakan bernanah.

Namun, ada yang melihat seolah-olah pembiakan itu adalah kebiasaan kerana ada penerima dan pemberi yang berasakan tindakan mereka tidak bertentangan dengan tatacara kehidupan kolektif.

Artikel Berkaitan:

Adakah kerana kita ‘menutup mata’ dan menyebabkan serangga kecil dalam masyarakat menjadi buruan dan bukan haiwan rasuah sebesar naga? Di manakah keadilan sebenar?

Moral menjadi kompas. Wabak itu memandu kompas ke arah yang bertentangan dengan sahsiah diri, namun tidak ditentang habis-habisan.

Kita mempunyai agensi dan aturan undang-undang yang secukupnya.

Tidak perlu perundangan baharu untuk mendepani cabaran rasuah.

Sikap, perilaku, kelakuan dan perwatakan yang perlu dilentur untuk mempunyai perasaan ‘bersalah’, ‘songsang’ dan ‘dihukum’ andainya kita terlibat dalam kancah gejala berkenaan.

Nilai manusiawi yang meminggirkan elemen rasuah dalam kehidupan perlu diraikan. Keinsanan yang menggunakan nilai kemanusiaan sebagai perisai mesti diangkat agar tidak dicabul oleh unsur-unsur jahat yang berlapiskan jenayah.

Tidak ada agama yang menyarankan atau mendidik serta menyemai nilai-nilai rasuah dalam kalangan pengikutnya.

Ia hadir daripada pemerhatian dan hubungan sosial kerana penginstitusian serta struktur sosial yang seolah-olah membenarkan tingkah laku semacam itu menjadi kebiasaan.

Begitu juga dengan alam politik. Aktiviti politik, ahli politik dan rasuah politik tidak mempunyai pendefinisian yang jelas.

Pembiayaan dan dana politik bagaimanakah yang boleh diklasifikasikan sebagai rasuah politik?

Yang pasti, untuk mengekalkan aktiviti politik, dana politik diperlukan. Penyalahgunaan kuasa menyebabkan timbulnya soal integriti dalam amalan rasuah politik.

Akta Pembiayaan Politik barangkali jawapannya tetapi mampukah ia menangani isu itu secara bersendirian?

Garis panduan yang jelas perlu dalam pembiayaan politik sekiranya rasuah tergolong dalam perbuatan jenayah.

Adakah pemberian hadiah, jamuan, pakej percutian, habuan dianggap rasuah? Ada yang menyogok, ada yang melakukan terang-terangan, ia menimbulkan persoalan jika ia adalah rasuah politik atau imbuhan?

Ada dua kategori perilaku rasuah yakni secara langsung terutama sewaktu pilihan raya dan tidak langsung melalui kelulusan projek serta perniagaan kerajaan. Kedudukan dilihat memberi akses kepada kontrak, lesen dan saham.

Adakah rasuah merupakan penyakit sebenar atau simptom dan penyakit kompleks yang melarat? Kemunculannya disebabkan oleh trend dalam kalangan masyarakat.

Ada juga yang memberi wang, pen, hamper, kalendar, jersi, jam tangan dan telefon bimbit. Adakah pemberi sahaja yang bertanggungjawab, bukan penerima yang ‘mendesak’ dengan ugutan?

Ada yang meminta pakej ke Medan dan Hatyai sehingga ke Seoul, Amerika Syarikat dan pakej umrah atau haji. Nasib baik pandemik Covid-19 menyekat perjalanan luar negara sewaktu pemilihan parti tahun ini untuk beberapa parti politik.

Ada juga yang berangga-pan rasuah politik adalah politik wang yang akan terus wujud selagi ada peluang melakukannya dan pelaku berasakan akan bebas daripada hukuman.

Apakah kita perlu kembali kepada ‘Bersih, Cekap, Amanah’ untuk membanteras rasuah?

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!