Suri rumah buntu hospital minta deposit RM5,000
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Satu klip video tular di media sosial sejak Jumaat yang memaparkan seorang suri rumah meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan sebuah hospital.
Berdasarkan rakaman video berdurasi tiga minit itu, suri rumah berkenaan turut kelihatan menangis dan tidak dapat menahan perasaannya apabila menceritakan mengenai situasi dihadapinya.
Dia mendakwa suaminya sebelum ini telah dibawa ke hospital berkenaan selepas didapati positif Covid-19 dan tidak sedarkan diri.
“Sejak ditahan di wad, pihak hospital langsung tidak menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai perkembangannya.
“Sampailah saya kena hubungi sendiri dan waktu itu baru mereka maklumkan suami masih tak sedarkan diri dan positif Covid-19 serta sudah diberi ubat.
“Lebih mengecewakan selepas lima hari suami ditahan, tiba-tiba mereka hubungi saya untuk minta deposit sebanyak RM5,000," katanya dengan nada sebak.
Menerusi video sama, suri rumah itu berkata, dia buntu untuk mendapatkan wang itu kerana dia tidak bekerja serta perlu menjaga tiga orang cahaya mata di mana salah seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU).
Dalam pada itu, Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Razman Jarmin berkata, terdapat salah faham mengenai caj kepada pesakit terlibat.
Bagaimanapun, beliau berkata, permasalahan itu sudah ditangani dan pihak hospital juga telah hubungi waris pesakit terlibat.
“Tiada caj dikenakan terhadap pesakit yang didiagnosis penyakit disebabkan wabak,” katanya.
Difahamkan, keluarga suri rumah terbabit juga akan menjalani saringan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cheras pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!