Pekerjaan sektor ladang sawit terjamin, bukan lagi 3D
KUALA LUMPUR - Sime Darby Plantation Bhd mempelawa rakyat tempatan untuk menyertai pelbagai peluang pekerjaan dalam operasi huluan dan hiliran syarikat tersebut berikutan prospek industri itu yang lebih cerah.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Operasinya, Adi Wira Abd Razak berkata, ini juga sekali gus dapat menepis salah tanggapan mengenai sektor itu berada dalam kategori industri kotor, berbahaya dan sukar (3D).
“Agak menyedihkan apabila kita melihat penurunan minat rakyat tempatan, terutamanya generasi muda sejak beberapa tahun lepas untuk mengambil peluang menyertai pelbagai pekerjaan dalam industri ini.
“Mungkin ini disebabkan terdapatnya tanggapan salah bahawa ini adalah sebahagian daripada industri 3D sedangkan hakikatnya itu tidak lagi sedemikian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Malah, beliau berkata Sime Darby Plantation telah berusaha untuk melaksanakan aspek mekanisasi serta digitalisasi kerja-kerja di lapangan bagi meningkatkan aspek kecekapan, produktiviti selain memastikan keselamatan pekerja pada setiap masa.
“Kami menawarkan banyak manfaat menarik bagi mewujudkan persekitaran kerja dan tempat tinggal yang kondusif untuk pekerja serta keluarga mereka.
“Ini adalah antara komitmen kami untuk melindungi dan menghormati hak semua pekerja kami tanpa mengira aspek jantina, latar belakang etnik serta agama mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Adi Wira berkata, peluang pekerjaan itu turut disertai dengan latihan, panduan dan sokongan sewajarnya bagi memastikan pekerja baharu mempunyai kepakaran bagi menjalankan tugas mereka serta membina karier progresif dalam industri perladangan.
Katanya, usaha menarik penyertaan rakyat Malaysia juga turut menjadi sebahagian daripada langkah bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam industri tersebut.
“Kami sememangnya giat mengambil khidmat warga tempatan sejak tahun lepas dan berharap dapat melihat bilangan pekerja ini terus meningkat.
“Prospek masa depan industri ini adalah cerah berikutan kepentingan minyak sawit dan khasiatnya kepada dunia. Lebih 50 peratus produk yang anda lihat di pasar raya di serata dunia mengandungi minyak ini yang sukar digantikan dengan sumber alternatif lain,” katanya.
Menurutnya, atas alasan itu, pihaknya yakin industri sawit akan terus berkembang dan menyediakan peluang dan pekerjaan menjaminkan untuk mereka yang bersedia merebut kesempatan dalam sektor berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!