NUTP sokong langkah KPM

Gambar kiri: Aminuddin
Gambar kiri: Aminuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyokong langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan menamatkan sesi persekolahan secara bermuka bagi semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun 2020 pada 9 Februari ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, langkah tersebut dibuat KPM bagi memberi ruang kepada murid untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari ini.

“Lagipun ia mampu mengurangkan banyak permasalahan berkait dengan penularan wabak Covid-19.

“Kami juga menyokong SPM diteruskan mengikut ketetapan jadual asal bermula 22 Februari nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Mengulas berhubung kegusaran ibu bapa berhubung penamatan sesi persekolahan bersemuka itu ditambah ketidaksediaan anak-anak untuk menghadapi peperiksaan utama tersebut, Aminuddin berkata, isu itu sepatutnya tidak timbul.

Menurutnya, walaupun berada di rumah, proses pengajaran dan pembelajaran untuk membimbing dan memberi motivasi kepada murid-murid peperiksaan utama ini masih terus berlangsung.

“Guru-guru yang mengajar calon-calon SPM 2020 akan berusaha keras hingga ke tarikh peperiksaan, jadi ibu bapa tidak perlu gusar.

“Apa yang lebih penting, ibu bapa dan guru-guru perlu sama-sama memberikan semangat dan motivasi atas kapasiti masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Guru melalui pengajaran berkesan pada saat-saat akhir, sementara ibu bapa melalui semangat berkait dengan masa depan pelajar untuk ke IPT (institusi pengajian tinggi) serta kerjaya pada masa depan,” katanya.

Tegasnya, SPM ialah sesuatu yang pasti hadir dan merupakan tiket untuk masa depan semua pelajar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!