Bubar STAGG, STAFOC, STING satu kesilapan: Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Pembubaran Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) pada 2019 satu kesilapan.

Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pencetus idea kepada penubuhan tiga skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pada 2014.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri berkata, andai STING, STAGG dan STAFOC masih wujud, pasti kes-kes jenayah berat dan kongsi gelap semakin kurang didengari oleh kita pada hari ini.

Namun katanya, selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018, kerajaan 22 bulan (Pakatan Harapan) mengarahkan pembubaran ketiga-tiga skuad elit itu.

"Saya tahu begitu banyak hujah dikeluarkan bagi menjustifikasikan pembubaran STAFOC, STAGG dan STING oleh penyokong mereka ketika itu.

"Bukan kita menafikan sumbangan dan kemampuan pegawai dan anggota polis lain tetapi skuad ini diwujudkan untuk memperkasakan usaha melawan jenayah," Katanya di laman Facebooknya pada Sabtu.

Zahid turut memetik kata-kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dilaporkan berkata pada waktu itu: “Sebenarnya mereka yang bubarkan tidak tahu keberkesanan unit-unit ini. Jasa saudara dan saudari di STING, STAGG dan STAFOC akan tetap dikenang oleh masyarakat”.

Pada April 2019, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengumumkan pembubaran tiga Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam agensi keselamatan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!