Stadium Malawati dijadikan CAC mulai esok

CAC di Stadium Malawati, Shah Alam itu akan beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dan ditutup pada Ahad.
CAC di Stadium Malawati, Shah Alam itu akan beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dan ditutup pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Stadium Malawati, di sini akan beroperasi sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi daerah Petaling, mulai esok.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, CAC itu akan menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15 berikutan kapasitinya yang boleh menampung lebih ramai pesakit Covid-19.

"CAC di Dewan MPSJ hanya mempunyai kapasiti seramai 500 pesakit sehari berbanding CAC di Stadium Malawati yang boleh menampung sehingga 1,500 pesakit. Keputusan ini dibuat berikutan jumlah kes baharu di daerah Petaling yang meningkat," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkat, CAC itu akan beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dan ditutup pada Ahad.

CAC itu akan memainkan peranan untuk menilai pesakit Covid-19 sebelum menempatkan mereka di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang atau hanya diarah menjalani kuarantin di rumah, katanya.

Beliau berkata, selain Stadium Malawati, CAC turut beroperasi di lapan daerah lain seperti di Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat.

Sementara itu, tinjauan di Stadium Malawati mendapati petugas Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Jabatan Pertahanan Awam sibuk membuat persiapan bagi memastikan operasi CAC berkenaan berjalan lancar esok.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp bahawa Stadium Malawati akan dijadikan CAC berikutan peningkatan jumlah kes yang tinggi di daerah Petaling. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!