Peperiksaan SPM secara digital perlu kajian mendalam

 Alimuddin Mohd Dom
Alimuddin Mohd Dom
A
A
A

SHAH ALAM – Peperiksaan dalam bentuk digital di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) memerlukan satu kajian yang mendalam kerana membabitkan perubahan besar daripada tradisional kepada digital.

Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, antara isu yang mungkin timbul ialah kemudahan internet dan komputer kerana tidak semua calon memiliki kemudahan itu.

“Ada kalangan mereka ini tidak memilki peranti seperti gajet. Jadi macam mana pelajar-pelajar ini nak mengambil peperiksaan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengesahkan telah memulakan langkah untuk melakukan transformasi terhadap sistem dan pensijilan SPM yang kini berusia kira-kira 57 tahun.

Pengarah Peperiksaan LPM, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, perbincangan di peringkat lembaga dan kementerian sedang dilakukan dalam usaha memastikan sistem peperiksaan SPM sesuai dengan perkembangan zaman khususnya teknologi maklumat yang begitu pantas.

Bekas Timbalan Pengarah LPM, Dr Khodori Ahmad kemudiannya mencadangkan peperiksaan dalam bentuk digital boleh disediakan kepada pelajar mengambil contoh kesan pandemik Covid-19 yang menyebabkan peperiksaan tertangguh.

Mengulas lanjut, Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan berkata, perkara itu tidak boleh dilakukan secara mendadak tetapi pandangan ibu bapa, badan bukan kerajaan, pelajar-pelajar dan KPM penting kerana bahagian peperiksaan itu lebih arif mengenai peperiksaaan.

Mengulas isu sama, Pakar Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran pula berpendapat, bukan sahaja sistem peperiksaan tetapi kandungan pentaksiran dan kurikulum juga perlu diubah.

Artikel Berkaitan:

“Kurikulum juga perlu diubah kerana sistem pendidikan dan pentaksiran tidak banyak berubah dalam jangka masa yang lama.

“Walhal, cabaran hidup sekarang sangat berbeza namun disebabkan SPM ini satu peperiksaan awam yang besar, kita perlu berhati-hati dan tak boleh membuat keputusan secara terburu-buru,” katanya.

Menurutnya, KPM perlu menggembleng kesemua pemegang taruh untuk melihat isu berkenaan.

“Kita tidak boleh mengubah pentaksiran sahaja, saya rasa kita kena ubah seluruh kurikulum,” katanya.

Tambahnya, jika dilihat kemahiran yang perlu ada pada generasi masa hadapan, ia tidak sama dengan kemahiran yang ada dengan generasi terdahulu.

‘Kemahiran yang diperlukan oleh pekerja zaman sekarang sudah berbeza. Ia bukan sahaja mengenai memindahkan peperiksaan kepada digital sahaja,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!