Pesara tentera siapkan sendiri rumah terbengkalai
PASIR PUTEH - Sekumpulan pesara tentera mengambil inisiatif menyiapkan sendiri rumah mereka yang terbengkalai di Taman Jaza Sri Pasu, di sini selepas pemaju didakwa gagal mengotakan janji.
Seorang pemilik rumah, Mohd Suhairi Zainal Abidin, 34, berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil selepas tertekan melihat 'syurga' idaman untuk berlindung bersama keluarga terbengkalai walaupun sudah 13 tahun membuat bayaran.
Menurutnya, mengikut perjanjian antara pembeli dan pemaju rumah tersebut sepatutnya boleh diduduki pada 2009 namun sehingga hari ini kediaman berkenaan masih terbengkalai.
"Sampai bila perlu bersabar dan menunggu. Lagipun impian saya selepas bersara sebagai anggota tentera ialah memiliki sebuah 'mahligai' selesa untuk dihuni bersama isteri dan empat orang anak," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurutnya, dia memperuntukkan RM20,000 wang tabungan yang dikumpul ketika berkhidmat sebagai anggota tentera untuk menyiapkan rumah tersebut.
Katanya, bukan itu sahaja dia juga terpaksa mengeluarkan belanja RM28,000 untuk melunaskan baki bayaran rumah yang keseluruhannya berharga RM65,000.
Mohd Suhairi berkata, dia berbuat demikian kerana mahu kediaman itu menjadi hak mutlaknya
Katanya, dia dan pembeli rumah yang lain merayu kerajaan supaya campur tangan dalam perkara ini.
Seorang lagi pembeli, Amran Awang, 41, memberitahu, dia sudah membelanjakan lebih RM50,000 untuk menyiapkan kediaman yang terbengkalai itu.
Dakwanya, dia dan rakan-rakan kecewa dengan tindakan pemaju yang lepas tangan dalam perkara tersebut.
"Saya difahamkan, sudah ada pemaju baharu yang mengambil alih projek ini namun tiada sebarang tindakan diambil.
"Saya harap pemaju mereka tidak lepas tangan kerana setiap bulan kami membayar rumah ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Taman Jaza Sri Pasu, Salehuddin Ahmad berkata, kesemua pembeli rumah di kawasan tersebut tertekan dengan situasi itu.
Menurutnya, kebanyakan pembeli ialah pesara tentera, polis, guru, jururawat dan anggota yang sedang berkhidmat terpaksa membayar rumah tersebut melalui pemotongan bulanan.
"Saya sendiri terpaksa membayar potongan rumah ini lebih RM600 sebulan tidak termasuk rumah yang disewa RM450 sebulan.
"Jadi saya berharap pihak berkenaan dapat campur tangan untuk selesaikan masalah ini," katanya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan perumahan itu dipenuhi semak samun selepas terbiar agak lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!