Pembukaan Pasti dibenarkan dengan bersyarat

Kebenaran menjalankan operasi hanya diberikan kepada Pasti yang memenuhi kelulusan bersyarat termasuk telah diaudit oleh Jabatan Amal Malaysia atau Unit Penaziran Pasti. - Foto GPS Bestari
Kebenaran menjalankan operasi hanya diberikan kepada Pasti yang memenuhi kelulusan bersyarat termasuk telah diaudit oleh Jabatan Amal Malaysia atau Unit Penaziran Pasti. - Foto GPS Bestari
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan membuka pengoperasian Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Malaysia bagi seluruh negara secara fizikal dibenarkan dengan bersyarat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pelbagai sudut pandangan serta langkah berjaga-jaga telah dipertimbangkan di dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian pada 1 Februari lalu.

“SOP yang ketat ini bukan untuk membebankan sesiapa tetapi adalah untuk keselamatan kita semua.

“Saya merayu kepada semua pihak sama ada waris, pelajar, guru-guru, pengurusan, anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) serta Briged Muslimat yang bertugas agar dapat sama-sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Pasti Malaysia.

“Selain daripada pre-audit yang telah dilaksanakan oleh JAM serta penyediaan SOP yang amat ketat, kami juga tidak putus-putus berdoa agar ALLAH SWT berikan keberkatan kepada keputusan ini dan ALLAH pelihara keselamatan semua waris, pelajar serta warga Pasti khususnya para guru, pengurus dan petugas dari JAM dan Briged Muslimat,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Ir Khairil Nizam Khirudin
Ir Khairil Nizam Khirudin

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebenaran menjalankan operasi hanya diberikan kepada Pasti yang memenuhi kelulusan bersyarat termasuk telah diaudit oleh JAM atau Unit Penaziran Pasti dan mendapat kelulusan pembukaan secara fizikal.

“Wajib mendapatkan bantuan daripada pihak JAM atau Briged Muslimat untuk memantau pematuhan SOP sewaktu sesi penghantaran murid oleh penjaga/ibu bapa dan ketika pengambilan murid oleh penjaga/ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

“Memastikan pengurus, guru dan pembantu guru telah mengisi borang saringan kesihatan dan melepasi saringan tersebut sebelum Pasti beroperasi secara fizikal. Memastikan borang saringan kesihatan juga diberikan kepada penjaga/ ibu bapa murid. Pihak Pasti perlu memastikan hanya murid yang melepasi saringan dibenarkan hadir secara fizikal ke Pasti.

“Pasti yang menjalankan aktiviti nurseri wajib memastikan terdapat pantauan daripada JAM atau Briged Muslimat yang bertugas satu jam awal dari waktu pengambilan murid,” ujarnya.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian yang melibatkan Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP), bersama Jabatan Pasti Malaysia, JAM dan Ketua Pemuda, Dewan Pemuda Pas Negeri-negeri (DPPN) memutuskan untuk membenarkan pengoperasian Pasti secara fizikal pada 1 Febuari tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!