Tetap bertugas walaupun rumah ditenggelami banjir
MARAN - Bencana banjir di Pahang bukan sahaja memberi kesan kepada orang awam malah turut mengakibatkan anggota penyelamat mengalami kerugian dan kehilangan harta.
Long Rofiki Long Hussin, 50, dari Kampung Paya Chedong yang bertugas sebagai anggota bomba berkongsi kesedihan kerana tidak dapat membantu ahli keluarga yang lain menyelamatkan barang dan harta berharga milik mereka kerana terpaksa bertugas.
Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran berkata, rumahnya turut ditenggelami air hingga ke paras bumbung dalam kejadian banjir Januari lalu.
Bagaimanapun, anggota bomba yang sudah bertugas 30 tahun itu tetap komited menjalankan tanggungjawab namun mengakui sedih kerana tidak dapat memenuhi tanggungjawab membantu penduduk setempat.
"Selepas saya memindahkan ahli keluarga ke pusat pemindahan sementara(PPS), saya terus menjalankan tugas menyelamatkan mangsa banjir.
"Memang sedih kerana tidak dapat menyelamatkan barang di rumah kami tetapi saya kuatkan semangat untuk bertugas," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, situasi banjir kali ini paling teruk berbanding 2014.
"Semua peralatan elektrik dan perabot musnah dan hanya tinggal pakaian sahaja," kata bapa kepada lima anak itu.
Tambahnya, situasi itu tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya beliau terus memberikan khidmat selagi diperlukan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga anggota bomba ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB,(7036115747) atas nama Long Rofiki Long Hussin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!