Peniaga jual kelengkapan Tahun Baharu Cina secara 'pandu lalu'
JOHOR BAHRU - Sebuah perusahaan menjual peralatan sembahyang, makanan dan kelengkapan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, di Johor Jaya, di sini, mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan secara pandu lalu bagi memudahkan pelanggan membuat pembelian.
Pengurusnya, Belle Tor, 31, berkata, ia bertujuan memastikan pelanggannya, terutama dalam kalangan warga emas, merasa yakin dan selamat semasa berurusan dengan mereka ketika pandemik Covid-19 ini.
Beliau berkata, pelanggan hanya perlu membuat pesanan menerusi aplikasi Whatsapp dan WeChat sebelum membuat panggilan untuk menetapkan urusan mengambil barangan secara pandu lalu.
Menurutnya, rata-rata pelanggan menyambut baik inisiatif itu berikutan ia dapat memudahkan pelanggan untuk membuat pembelian, selain dapat mengurangkan interaksi secara dekat dan mengelak kesesakan di dalam kedai.
“Kebanyakan pelanggan adalah dalam kalangan warga emas, kalau orang muda senang sedikit boleh datang ke sini dan tahu bagaimana untuk imbas kod QR MySejatera.
“Warga emas pula kebanyakan agak susah untuk berjalan dan tidak faham bagaimana untuk imbas kod QR My Sejahtera. Jadi inisiatif ini dapat memudahkan lagi mereka, anak-anak mereka juga boleh bantu membuat pesanan dan ambil barang secara pandu lalu,” katanya ketika ditemui, di sini pada Ahad.
Tor berkata usahanya itu sekali gus dapat mengelakkan daripada berlakunya jangkitan Covid-19 melibatkan pelanggan.
“Saya takut kalau ada kes, ia akan menyusahkan kedua-dua belah pihak, jadi dengan inisiatif ini anak-anak tidak perlu lagi takut sekiranya ibu bapa mereka pergi ke kedai untuk beli barang kerana sekarang boleh buat pesanan dan ambil barang secara pandu lalu,” katanya.
Dalam masa yang sama, dia mengaku kemeriahan Tahun Baharu Cina pada tahun ini agak suram kerana pelanggan semakin berkurangan, terutama daripada negara Singapura, lebih-lebih lagi kawasan Johor Jaya yang kebiasaannya pada masa ini meriah dengan festival jualan sambutan perayaan setiap tahun.
“Perniagaan agak perlahan, boleh dikatakan kurang 50 hingga 70 peratus berbanding tahun lepas, kerana kebiasaannya di sini setiap tahun ada festival jualan.
“Pelanggan tetap banyak di Singapura, masyarakat tempatan pula kurang berbelanja kerana perlu menyimpan duit ketika Covid-19,” katanya yang mengusahakan perniagaan keluarganya yang berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, Pengurus Pusat Sutera Mall, Farrer Tan ketika dihubungi pula berkata, pihaknya memasarkan barangan kelengkapan Tahun Baharu Cina seperti biasa pada tahun ini, dan pada masa sama pelanggan juga boleh membuat pembelian menerusi platfrom laman sosial Facebook mereka.
“Kita ada buat siaran langsung di Facebook, selain itu kita juga menyediakan perkhidmatan untuk menghantar barang terus ke rumah pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini Sutera Mall menyediakan 21 gerai pameran sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang terdiri daripada gerai jualan biskut, daging salai, limau mandarin, bunga dan barang hiasan.
Menurutnya, jumlah gerai pada tahun ini berkurangan berbanding 40 gerai pada tahun lalu kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!