Import Kelantan United FC lengkap
Kelantan United FC (KUFC) diperkuatkan dengan seorang lagi pemain kelahiran Jepun, Shuhei Fukai menjelang Liga Malaysia (Liga-M) musim ini yang dijangka bermula 5 Mac depan.
Pengarah Eksekutif Kelantan United FC Sdn Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, pemain pertahanan berusia 28 tahun itu telah tiba di Malaysia dan akan bersama KUFC bagi mengikuti program latihan yang telah disusun barisan jurulatih.
"Kami percaya kehadiran pemain yang berpengalaman dalam saingan Liga Tiga Jepun itu mampu membantu KUFC mengukuhkan pertahanan seterusnya memberi cabaran dalam Liga-M musim ini," katanya.
Sebelum ini, dua pemain tengah dari Jepun turut menyertai KUFC iaitu Masashi Motoyama dan Yuki Tanigawa selain seorang penyerang import dari Gambia, Gassama Alfussainey.
KUFC turut membawa masuk seorang pemain tempatan iaitu bekas pemain Kuala Lumpur, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil yang merupakan produk Kelantan sebelum ini dan pernah beraksi dengan skuad Harimau Muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!