Tommy boleh timbulkan ketegangan kaum
MERSING - Pemuda UMNO Bahagian Mersing menganggap buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas boleh menimbulkan ketegangan kaum.
Ketua Pemuda UMNO Mersing, Azmeer Zainal Abidin berkata, banyak fakta tidak tepat dan dimanipulasikan dalam buku 'My Story: Justice In The Wilderness' sekali gus mengundang kegusaran awam.
"Kami memohon polis menyiasat kenyataan Tommy yang berunsur fitnah dan berbaur hasutan selain tuduhan tidak berasas dalam buku tersebut, seterusnya menghentikan pengedarannya kepada orang ramai.
"Buku tersebut perlu ditarik balik dari pasaran kerana boleh membangkitkan kebencian antara kaum dan badan kerajaan kononnya didominasi bangsa Melayu yang tidak berkelayakan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis bersama Pemuda MCA bahagian, Pemuda MIC bahagian dan Dewan Pemuda Pas Mersing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing di sini pada Ahad.
Menurut Azmeer, perbuatan Tommy mendedahkan rahsia kerajaan dalam bukunya amat tidak wajar.
"Tommy telah melanggar sumpah kerahsiaan jawatan dengan mendedahkan kepada umum bagi tujuan komersial, keuntungan dan sensasi selain melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 yang tidak sepatutnya dilakukan seorang bekas Peguam Negara," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, Datuk Jamelah A Bakar berkata, penulisan Tommy dalam buku 'My Story: Justice in the Wilderness' telah mencemarkan institusi perundangan negara.
Menurutnya, Tommy juga telah menghina penjawat awam dalam Jabatan Peguam Negara sehingga menimbulkan perspektif negatif masyarakat terhadap pegawai di jabatan tersebut.
“Beliau juga menghina pemimpin tertinggi negara, tokoh negara sama ada yang masih hidup atau yang sudah tiada. Perkara sebegini merupakan satu perbuatan yang tidak menunjukkan keperibadian yang boleh dihargai.
“Sikap bias Tommy sangat jelas dalam banyak memberi fakta menyeleweng dan terpesong daripada fakta adalah satu perbuatan yang merosakkan kewibawaan sistem perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam kenyataan sama, Jamelah berharap kerajaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Tommy supaya beliau memahami hakikat ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’.
Tambah beliau, kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk memastikan semua pihak yang berhak terpelihara dan sesiapa yang melanggar hak mesti dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang negara.
Terdahulu, Tommy yang menjadi Peguam Negara bermula Jun 2018 sehingga Februari tahun lalu mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mendakwa bukunya itu mengandungi pelbagai fakta tidak betul, menghina serta memfitnah pelbagai pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!