Harap lebih ramai Abdul Bari akan ‘lahir’
KUALA TERENGGANU – Kematian Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang lemas ketika membantu lima sekeluarga diharap dapat ‘melahirkan’ lebih ramai insan sanggup menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Bahagian Pengurusan Masjid), Aizi Saidi Abd Aziz berkata, Allahyarham Abdul Bari Asyraf merupakan seorang pemuda yang wajar dicontohi atas sifat mulia dan terpuji dimiliki arwah.
“Harap selepas dia (Abdul Bari Asyraf) pergi, akan wujud lebih ramai orang lain yang akan mencontohi dia yang sanggup membantu orang dalam kesusahan. Kita lihat hati arwah ada sikap mahu menolong.
“Dia mati ketika buat kebaikan, bukan maksiat, itu satu kemuliaan yang tinggi. Dari segi amalan, itu antara dia dengan ALLAH S.W.T, pada zahirnya kita lihat dia buat benda baik yang harus dicontohi semua.
“Saya tengok video (kejadian), ramai yang bercakap banyak tapi tidak ada tindakan. Patut ada keberanian (macam Allahyarham), kita mahu orang-orang seperti arwah,” katanya ketika mengulas kematian Abdul Bari Asyraf yang mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Ditanya sama ada wujud doa atau amalan tertentu diamalkan Allahyarham sehingga darjat diangkat ketika kematiannya, Aizi Saidi tidak menolak kemungkin doa dari ibu bapa arwah turut memainkan peranan.
“Mungkin ada doa-doa ibu bapa dia, itu tidak dinafikan, mungkinlah sebab ia bergantung kepada amalan.
“Kalau bukan kebaikan dari dia, tidak terdetik pun dia nak tolong orang masa itu. Bila kebaikan sudah jadi darah daging dia, maknanya dia rasa bersalah tak tolong.
“Kita nak orang lain ambil contoh iktibar dari kejadian ini, bila ada yang memerlukan pertolongan mudah kita nak hulurkan bantuan,” katanya.
Dalam kejadian Jumaat lalu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.
Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf yang dikatakan mengalami kejangan otot menyebabkan dia gagal mengawal keadaan sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.
Mayat Abdul Bari Ashraf ditemui di muka kuala tanjung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Akhirnya anak saya ada kubur'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!