Pemimpin lambang integriti

Kewujudan persekitaran tradisi toleransi yang matang dengan kebiasaan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ asalkan perbezaan-perbezaan itu tidak menjejas prinsip dan dasar perjuangan parti.
Kewujudan persekitaran tradisi toleransi yang matang dengan kebiasaan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ asalkan perbezaan-perbezaan itu tidak menjejas prinsip dan dasar perjuangan parti.
A
A
A

PADA hemat saya, para pemimpin atau golongan elit bangsa Melayu dan umat Islam perlu ingat, sedar dan insaf bahawa dalam pandangan alam al-Quran, faktor kesucian kerohanian, keluhuran akhlak dan ketinggian budi pekerti yang menepati ‘uswah hasanah’ (contoh tauladan yang baik) Rasulullah SAW adalah faktor paling asasi dan mutlak dalam menyatupadukan manusia, keluarga, kaum, masyarakat, parti, bangsa atau negara.

Sejarah pertumbuhan umat Islam yang bersatu padu di al-Madinah al-Munawwarah pasca peperangan kabilah Arab (antara Kabilah Aus dan Kabilah Khajraz) bertahun-tahun, membuktikan kebenaran keyakinan saya ini.

Ayat berikut menegaskan kuasa ALLAH SWT sebagai faktor penentu yang hakiki dalam menyatupadukan bangsa atau masyarakat: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali ALLAH (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat ALLAH kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu ALLAH menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat ALLAH itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu ALLAH selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).

Demikianlah ALLAH menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya (Al-Imrān 3:103).

Beberapa pengajaran yang boleh kita ambil daripada ayat di atas ialah:

2.1. Bila ALLAH SWT kehendaki, DIA boleh saja menukar keadaan permusuhan atau konflik atau sengketa yang lama atau yang dalam antara kaum atau antara kelompok masyarakat atau antara individu, sekiranya mereka mempunyai keikhlasan atau kejujuran untuk bersatu, berdamai atau berbaik-baik.

2.2. Daripada ayat-ayat lain ALLAH SWT menjelaskan bahawa DIAlah yang a) menurunkan ketenangan yang sejati (al-Sakinah) dalam hati-hati orang Mu’min (al-Fath 48: 4), b) mewujudkan rasa cinta (al-mawaddah) dan kasih sayang (al-rahmah) di antara isteri dan suami (al-Rum 30: 21), dan c) memasukkan rasa takut (al-rub) dalam hati musuh orang Mu’min (Anfal 8: 12), dan d) menyembuh atau menambahkan ‘penyakit’ kalbu manusia (al-Baqarah 2: 10).

DIAlah (SWT) yang membolehkan kelompok kecil dan lemah mengalahkan kelompok besar dan kuat, jika DIA (SWT) melakukan intervensi untuk memenangkan kelompok kecil yang menjunjung Kebenaran (al-Haqq) yang berhadapan dengan kelompok besar yang mendukung Kebatilan (al-Batil) atau kekufuran (al-Baqarah 2: 249).

Artikel Berkaitan:

2.3. Adapun manusia, kelompok, bangsa, parti atau hati manusia yang disuap atau dibeli atau dibiuskan dengan janji-janji muluk, wang atau harta, pangkat, kedudukan, kuasa, keseronokan seks atau lain-lain jenis rasuah atau tipu helah syaitan, tidak akan membawa kepada kebaikan atau perpaduan yang sejati dan kekal, tetapi boleh terjerumus ke dalam kesengsaraan yang kekal abadi.

2.4. Berpegang teguh kepada kitab ALLAH SWT dan sunnah Nabi SAW sebagai panduan hidup utama dan beristiqamah dengannya ialah cara yang sebaik-baiknya untuk mendapat pertolongan, bantuan, kejayaan atau keberkatan Ilahi. Apakah parti politik orang Islam atau pemimpin politik beragama Islam bersedia berpegang kepada prinsip dan perintah ALLAH SWT ini?

2.5. Jangan cari kesalahan orang lain atau bangsa lain bila kita gagal mencapai perpaduan sejati. Teroponglah ke dalam diri kita, dalam sistem dan budaya politik parti kita dan keabsahan strategi politik parti kita atau kelompok kita dalam parti tertentu.

3. Ke arah penyatuan dan perpaduan yang hakiki.

Tentu sekali terdapat banyak jalan atau pendekatan yang telus dan rasional, yang serasi dengan lunas undang-undang, berlandaskan etika peradaban yang luhur (sehingga ia dapat diterima oleh sistem nilai dan norma agama Islam) yang boleh dikemukakan dan dibincang oleh cendekiawan Muslim atau bukan Muslim.

Tetapi saya ingin menyentuh tiga pendekatan sahaja yang pada hemat saya, boleh membawa kepada islah (reformasi) individu, kelompok, parti, bangsa, negara dan umat Islam menuju matlamat perpaduan yang hakiki, yang diberkati dan diredai ALLAH SWT iaitu:

3.1. Perpaduan melalui kaedah perubahan undang-undang dan Perlembagaan.

Saya ingin menyarankan supaya beberapa pakar perundangan dan ahli sains politik mengemukakan beberapa pindaan undang-undang atau perlembagaan parti-parti dan Perlembagaan Malaysia, berkaitan dengan persoalan bagaimana mengatasi: a) masalah kebebasan bersuara dan batasan-batasannya, b) masalah amalan lompat parti yang dilakukan oleh ahli Parlimen, c) masalah pemberian atau penerimaan sumbangan dana kewangan untuk parti-parti politik, d) tempoh menjadi Perdana Menteri tanpa had atau umur maksimum seorang Perdana Menteri, e) kekaburan atau ketidakjelasan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan berkaitan kes-kes pertikaian antara parti kerajaan dengan parti pembangkang dan lain-lain perundangan yang wajar diwujudkan, dipinda atau diperketatkan.

3.2. Perpaduan melalui kaedah transformasi budaya politik kepartian dengan mengukuhkan dan mengambil berat aspek adab, akhlak dan etika dalam parti orang Islam.

Kaedah itu memerlukan kesanggupan dan kesediaan sebuah parti politik orang Islam khususnya untuk melakukan kritik dalaman (self criticism), introspeksi (muhasabah) dan islah kendiri (self-reform) dengan meletakkan syarat-syarat baru, kriteria-kriteria keahlian dan kepemimpinan baru, indikator prestasi utama baharu atau perjanjian akujanji baharu berkenaan dengan adab dan etika pengurusan, komunikasi di alam maya, pantang larang dalam berpolitik sesuai dengan adat dan tradisi masyarakat Melayu-Islam.

Umpamanya, bagaimana seharusnya nilai-nilai etika yang utama dalam budaya Melayu seperti amanah, berkat, malu, maruah, jujur, tidak biadab, tidak khianat, hormat, mesyuarat, muafakat, gotong-royong, rendah diri, budi pekerti dan lain-lain dimasukkan ke dalam kod etika atau perlembagaan parti atau dalam garis panduan untuk berkempen pada pilihan parti dan menjelang pilihan raya umum.

Bagi mereka yang berada dalam barisan kepimpinan parti atau Majlis Tertinggi parti diwujudkan suatu kod etika khusus yang meletakkan adab, akhlak dan etika pimpinan tertinggi dalam kategori yang lebih tinggi daripada norma biasa kerana pemimpinlah role model kecemerlangan akhlak dan etika yang wajib menghayati dan mencerminkan contoh tauladan berakhlak mulia, berbudi pekerti luhur dan beradab sopan.

Pemimpin beragama Islam ialah lambang dan personifikasi integriti (merangkumi sifat-sifat sidq, amanah, ikhlas, istiqamah, muru’ah) parti. Suatu cabang etika yang amat penting dalam budaya politik orang Islam dan sistem demokrasi dalam negara berbilang kaum ialah apa yang dinamakan sebagai adab al-ikhtilaf (ethics of disagreement) dan ihtiram al-ra’y al-akhar (menghormati pandangan lain yang berbeza).

Dengan memahami dan menghayati etika dan adab menangani perbezaan pendapat dalam tradisi ilmu Islam, ahli-ahli parti politik akan lebih bersedia mengakomodasi perbezaan pendapat atau mengurus pandangan-pandangan yang bertelingkah dengan kaedah yang boleh mengekalkan keharmonian dan kestabilan dalam parti atau dalam suatu koalisi politik.

Hasilnya ialah kewujudan suatu persekitaran yang mempunyai tradisi toleransi (tasamuh) yang matang dengan kebiasaan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ (agree to disagree), asalkan perbezaan-perbezaan itu tidak menjejas prinsip dan dasar perjuangan parti.

Penghayatan dan institusionalisasi adab al-ikhtilaf dan ihtiram al-ra’y al-akhar dalam parti atau gabungan parti orang Islam akan dapat mengekalkan ikatan persahabatan, ukhuwwah Islamiyyah, kesetiaan kepada parti dan rasa hormat kepada pemimpin walaupun pendapat pemimpin tidak disetujui.

* Profesor Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan ialah Tokoh Akademik Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!