RGL bukan keutamaan ketika ini

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan sidang akhbar bersama selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia pada Jumaat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan sidang akhbar bersama selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan empat mata di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan skim laluan hijau timbal balik (RGL) di antara Malaysia dan Indonesia yang dipersetujui kerajaan dilihat sebagai bukan satu keutamaan untuk dijalankan ketika ini.

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, ia memandangkan kedua-dua negara masih belum pulih sepenuhnya daripada penularan jangkitan pandemik Covid-19.

“Usaha untuk menambah baik hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia bukan sesuatu yang perlu diutamakan. Keutamaan yang perlu diberikan perhatian adalah untuk memulihkan keadaan ekonomi tempatan yang semakin tenat.

“Selain itu, ketidakstabilan politik yang sedang berlaku dalam negara juga merupakan faktor yang menjelaskan bahawa hubungan dua hala negara tersebut bukanlah sesuatu yang perlu diposisikan sebagai agenda yang utama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ariff Aizuddin
Ariff Aizuddin

Media sebelum ini melaporkan bahawa Malaysia dan Indonesia bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan RGL bagi meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob pada Sabtu berkata, perancangan itu memerlukan susulan lanjut bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia, Indonesia setuju wujud laluan hijau tingkat perdagangan

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, beberapa pihak bimbang langkah itu mungkin mencetuskan penularan kes Covid-19 yang tidak terkawal.

Ariff Aizuddin berkata lagi, rakyat Malaysia pada ketika ini mengharapkan kerajaan mengumumkan pelbagai berita gembira.

“Saya melihat sekiranya RGL dijalankan, kemungkinan besar akan terdapat implikasi jangkitan Covid-19 yang lebih serius.

Walaupun SOP akan dilaksanakan, namun ia bukan jaminan bahawa jangkitan tidak akan berlaku,” katanya.

Sementara itu Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed dari Universiti Utara Malaysia berbeza pula pendapat mengenai pelaksanaan RGL.

Beliau berkata, skim itu bukan perkara baharu kerana Malaysia pernah menjalankan RGL dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan Singapura.

 Ahmad Martadha
Ahmad Martadha

“Kerjasama antara Malaysia dan Singapura sebelum ini telah berjaya mempercepatkan perdagangan dua hala kerana kaedah laluan hijau membenarkan ahli perniagaan dan anggota kerajaan datang ke negara yang mengadakan kerjasama.

“Mereka boleh datang melalui proses yang lebih mudah. Jumlah yang ditetapkan bagi RGL ialah seramai 2,000 individu, manakala bagi PCA seramai 400 orang.

“Sebab itu RGL sangat penting terutama ketika negara seperti Malaysia, Indonesia dan negara lain berdepan isu Covid-19 di mana ketika ini, pintu masuk negara tidak boleh dibuka,” katanya.

Katanya, mereka yang terlibat dalam kerjasama itu bukanlah dalam jumlah yang besar.

“Apabila ia dalam jumlah kecil, maka mudah untuk diuruskan dari segi memastikan proses pemantauan dan saringan itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Jelasnya, dalam konteks Malaysia, negara mempunyai potensi yang sangat besar dari segi kepakaran untuk membantu Indonesia, selain dapat membuka perniagaan yang berpotensi tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!