Harap KWSP janganlah bagi harapan palsu, kata warga maya

Warga maya memuat naik paparan sistem i-Sinar kategori dua tergendala.
Warga maya memuat naik paparan sistem i-Sinar kategori dua tergendala.
A
A
A

SHAH ALAM - Warga maya melahirkan rasa kecewa terhadap masalah teknikal berhubung paparan status permohonan kemudahan i-Sinar kategori dua yang sepatutnya kembali pulih pada Isnin masih mengalami masalah yang sama.

Bukan itu sahaja, warga maya juga mendakwa semakan status permohonan i-Sinar kategori dua yang sebelum ini telah diluluskan oleh KWSP, tetapi sebaik melakukan semakan semula pada Isnin mendapati, permohonan mereka masih dalam status proses.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Ahad malam mengumumkan pihaknya berdepan masalah teknikal berhubung paparan status permohonan kemudahan i-Sinar.

Kenyataan tersebut menyusul beberapa jam selepas kebanyakan permohonan i-Sinar kategori dua dilaporkan telah lulus selepas pemohon membuat semakan pada Ahad.

Menerusi kenyataan ringkas yang dimuat naik di laman sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook KWSP, perbadanan tersebut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

“KWSP ingin memohon maaf atas kesulitan kerana terdapat masalah teknikal pada paparan status I-Sinar online.

"Anda disarankan untuk menyemak semula status anda bermula 8 pagi pada 8 Februari 2021,” menurut kenyataan ringkas itu.

Warga maya dikenali Qistina Shahrim meluahkan kekecewaanya di ruang komen Twitter KWSP.

Artikel Berkaitan:

Luahan kecewa warga maya setelah permohonan diluluskan namun semakan pada Isnin, status masih dalam proses.
Luahan kecewa warga maya setelah permohonan diluluskan namun semakan pada Isnin, status masih dalam proses.

"Sampai hati KWSP buat macam ini, sudahlah tunggu keputusan hampir sebulan campur cuti umum, cuti hujung minggu lagi, lepas itu status hijau tukar balik pada biru. Kami satu keluarga sudah gembira sangat semalam, tapi pagi ini, hanya ALLAH sahaja tahu perasaan kami," ciapnya yang menarik perhatian orang ramai.

Muhammad Hafiz Hashim pula memuat naik paparan i-Sinar kategori dua yang menunjukkan sistem itu kini mengalami masalah teknikal walaupun KWSP telah memaklumkan Isnin pagi orang ramai boleh mengakses sistem tersebut.

Kemudian wanita dikenali Maksu memberitahu, sebelum ini dia telah lulus permohonan status i-Sinar kategori dua tetapi pagi ini semakan dilakukan sekali lagi dan menunjukkan pemohonan masih dalam proses.

"Harap-harap janganlah bagi saya harapan palsu. Sudah gembira malam tadi, tiba-tiba sekarang 'check' masih diproses lagi," ciapnya.

Kenyataan itu juga disokong oleh Syamimie dengan berkata, "Saya gembira semalam status lulus...pagi ini kecewa dan sedih status dalam proses...sedih".

Terdahulu, KWSP memaklumkan bagi pemohonan kategori dua adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas 1 Mac 2020, yang mana pengurangan itu hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang diberikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!