Peluru kosong ditemui depan premis perniagaan
KOTA BHARU - Sebutir peluru jenis 5.56 PS 83.06 dijumpai berada di atas jalan tar di hadapan pintu masuk sebuah premis perniagaan di Kubang Kerian, di sini pada petang Ahad.
Peluru itu dijumpai oleh pengurus operasi perniagaan tersebut yang melihat objek berkenaan pada jam 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pengadu lelaki berusia 35 tahun itu berada di hadapan pintu masuk premis dan melihat objek dipercayai peluru lalu melaporkan kepada pihak polis.
“Pasukan polis yang bergegas ke lokasi mendapati peluru itu adalah jenis 5.56 PS 83.06 yang kosong tanpa anak peluru.
“Siasatan awal mendapati peluru tersebut hanya mengeluarkan bunyi tanpa anak peluru dan kebiasaannya digunakan untuk latihan sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal mendapati tidak ada apa-apa perkara yang mencurigakan berkaitan dengan penemuan peluru kosong tersebut.
“Polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan lanjut berhubung penemuan itu,” katanya,
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!