Tabung Musa'adah Covid-19 salur RM4 juta bantu golongan memerlukan
PUTRAJAYA - Tabung Musa'adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Waqaf Malaysia (Jakim-YWM) telah menyalurkan RM4 juta bagi membantu golongan memerlukan yang terkesan akibat pandemik itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tabung itu secara keseluruhannya telah menerima sumbangan kira-kira RM6 juta daripada syarikat korporat dan individu sejak dilancarkan pada Mac tahun lepas.
"Kita mengadakan perbincangan setiap dua minggu sekali, kita sasarkan dan selaraskan bantuan dengan sebaik mungkin dan kita boleh lakukan dengan lebih tepat dan tersusun," katanya selepas melepaskan Konvoi Program Musa'adah Bantuan Pasca-Banjir Jakim-YWM ke Dungun, Terengganu, di sini pada Isnin.
Beliau berkata, agensi-agensi di bawah tanggungjawabnya turut melaksanakan program bantuan untuk golongan memerlukan termasuk mangsa banjir membabitkan perbelanjaan kira-kira RM15 juta pada bulan lepas.
"Kita pergi seluruh Malaysia. Rancangan kita kalau boleh tidak ada mana-mana kawasan Parlimen yang tidak kita santuni," katanya.
Pada majlis itu, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan RM24,400 kepada 122 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada keluarga B40 yang terkesan akibat Covid-19 dan RM2,000 kepada seorang lelaki dari Sarawak yang sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Sebanyak RM15,000 pula disumbangkan kepada Pasukan Pengurusan Jenazah Covid-19, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi membiayai kos saringan Covid-19 untuk 60 anggota pasukan itu.
Zulkifli berkata, orang ramai boleh menyumbang kepada Tabung Musa'adah Covid-19 Jakim-YWM melalui akaun CIMB Islamic Bank Bhd Yayasan Waqaf Malaysia 86-0221818-6. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!