Penjawat awam ditahan ketika leka bungkus dadah
Ketua Polis Pendang, Deputi Supritenden Arriz Sham Hamezah berkata pada jam 3 pagi tadi sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Nakortik daerah Pendang menahan empat lelaki yang sedang duduk di dalam sebuah pondok kayu di tepi sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Pusing.
Katanya, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan tubuh badan ke atas keempat-empat suspek tetapi tidak menjumpai barang terlarang.
"Namun pemeriksaan lanjut di atas lantai pondok telah menjumpai sembilan peket plastik lut sinar yang berisi serbuk ketulan putih disyaki dadah Heroin, lapan peket plastik lut sinar yang berisi serbuk hablur jernih disyaki syabu, satu peket plastik lut sinar yang berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dan dua keratan straw yang berisi pil kuda," katanya.
Menurut Arriz, pihaknya turut menjumpai satu botol kaca yang telah diubah suai sebagai alat untuk menghisap dadah, gunting besi, alat pemetik api, alat penimbang digital dan tujuh peket plastik lut sinar kosong yang disyaki digunakan dalam aktiviti pembungkusan dadah.
"Penjawat awam berkenaan tidak pernah mempunyai rekod lampau berbanding dua lagi rakannya yang pernah terlibat dengan kes dadah sebelum ini," katanya.
Katanya, pihak polis berjaya merampas heroin seberat 41.04 gram yang bernilai RM 1,231; syabu seberat 8.9 gram bernilai RM1,335; Ganja seberat 0.5 gram bernilai RM 17.50 dan pil kuda 10 biji bernilai RM150.
"Kesemua mereka yang ditahan berusia 35 hingga 47 tahun itu berasal dari daerah Pendang.
"Kita yakin, dadah yang sedang dibungkus itu akan dijual kepada penagih tempatan sekitar daerah ini," katanya.
Arriz berkata, kes akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!