KKM laksana perolehan picagari low dead-volume

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melaksanakan perolehan picagari jenis low dead-volume yang diperlukan bagi menjalankan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dengan syarikat tempatan dan luar negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Beliau berkata, picagari jenis itu diperlukan dan bersesuaian untuk vaksin berkenaan kerana mampu mengelakkan pembaziran serta memaksimumkan jumlah dos yang akan diberikan khususnya pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 26 Februari ini.

“Pemberian vaksin perlu dibuat dengan teliti kerana kita perlu elakkan pembaziran dan picagari ini juga memenuhi spesifikasi yang diminta oleh syarikat Pfizer,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan satu juta peralatan pelindungan diri (PPE) daripada Eu Smart Solution Holdings Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Picagari low dead-volume amnya merujuk kepada picagari sifar pembaziran, sekali gus memastikan penerima suntikan menerima keseluruhan dos vaksin yang diperlukannya.

Sabtu lepas, Dr Adham dilaporkan berkata, KKM memerlukan 12 juta picagari jenis low dead-volume bagi membuat suntikan terhadap 20 peratus atau enam juta penerima fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sementara itu, Dr Adham berkata, picagari jenis low dead-volume akan ditempatkan di semua lokasi pemberian vaksin yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Untuk pemberian vaksin ini, kita perlu ada peralatan selengkapnya dan saya yakin dengan semua persiapan yang ada, kita akan dapat laksanakan pemberian vaksin dengan cermat yang seterusnya dapat lindungi masyarakat daripada Covid-19,” katanya.

Dr Adham berkata, sebanyak 6,542,418 ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen telah dijalankan sejak 24 Januari 2020 sehingga Sabtu lepas (6 Februari).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ujian yang dijalankan itu telah membantu KKM dalam mengesan kes positif dengan pantas serta membolehkan pengesanan kontak dibuat dengan cepat.

“Saya memohon mereka yang ada kontak rapat dengan kes positif untuk memberikan maklumat lengkap kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi membolehkan tindakan memutuskan transmisi Covid-19 dapat dijalankan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!