Covid-19: JKNS adakan libat urus dengan klinik, hospital swasta

Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada Isnin. - Foto Bernama
Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengadakan sesi libat urus dengan klinik dan hospital swasta di negeri ini bagi mengatasi masalah kelewatan dalam melaporkan kes positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, langkah itu dilihat lebih berkesan berbanding mengenakan denda kepada klinik dan hospital swasta yang lewat melaporkan keputusan Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 disebabkan pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Kita memerlukan kerjasama daripada klinik dan hospital swasta untuk mengatasi penularan pandemik Covid-19. Kini jumlah kes yang lewat dilaporkan telah berkurangan dan ini merupakan langkah positif kerana kerjasama daripada semua adalah penting berbanding penguatkuasaan.

“Bagaimanapun, sekiranya perkara berkenaan (lewat lapor) masih lagi berlaku, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama pengoperasian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini, pada Isnin.

Hadir sama Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

Mengulas mengenai operasi CAC Stadium Malawati, Dr Sha'ari berkata, seramai 80 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling bertugas setiap sehari bagi melakukan penilaian terhadap pesakit Covid-19.

"CAC Stadium Malawati ini boleh mengendalikan 1,500 pesakit sehari. Mengikut janji temu yang dibuat hari ini (Isnin), kira-kira 1,000 pesakit akan hadir ke sini dan kita jangka seramai 300 lagi pesakit akan datang ke sini secara walk-in," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, media melaporkan peningkatan kes Covid-19 di Selangor antaranya berpunca daripada klinik dan hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif pada hari yang sama melalui Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Sementara itu, Dr Siti Mariah pula berkata, pihaknya dan Kementerian Kesihatan telah berbincang untuk melaksanakan beberapa langkah bagi memudahkan klinik dan hospital swasta melaporkan kes positif Covid-19.

"Kami sedang berusaha untuk mewajibkan klinik dan hospital swasta yang menjalankan ujian saringan Covid-19 menggunakan aplikasi SELangkah kerana aplikasi berkenaan boleh memuat naik keputusan ujian Covid-19 secara terus ke SIMKA. Namun, usaha ini melibatkan banyak pihak dan kita sedang berbincang mengenainya," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!