Tiga pertuduhan baharu Najib dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan tiga pertuduhan baharu pengubahan wang haram berkaitan dana SRC International yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd Nazlan Ghazali membuat keputusan selepas membenarkan permohonan itu yang dikemukakan Peguam Negara Thommy Thomas dalam satu prosiding terbuka hari ini.
Bagaimanapun Mohd Nazlan menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan perbicaraan kes itu serentak dengan tujuh pertuduhan lain yang dihadapi Ahli Parlimen Pekan itu.
Thomas sebelum itu memaklumkan permohonan perbicaraan secara serentak dikemukakan kerana pihak pendakwaan akan mengemukakan sebahagian saksi dan dokumen yang sama.
Sementara itu, ketika menolak permohonan itu, Mohd Nazlan berkata permohonan untuk menjalankan perbicaraan itu secara serentak adalah 'pre mature' (pra matang) kerana ia wajar dikemukakan dihadapan hakim mahkamah tinggi yang bakal mendengar kes itu.
Mahkamah sebelum ini telah menetapkan perbicaraan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International berlangsung selama 33 hari bermula esok hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac.
Dalam pada itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi yang bakal dipanggil sepanjang perbicaraan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Najib: Pasukan pendakwaan bantah permohonan tangguh perbicaraan
ARTIKEL BERKAITAN: Perbicaraan SRC Najib: Pendakwaan bersedia dengan sembilan saksi
ARTIKEL BERKAITAN: Najib fail permohonan tangguh perbicaraan
ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah tetap dua hari dengar rayuan Najib
ARTIKEL BERKAITAN: Najib dilepas tanpa dibebaskan terhadap tiga pertuduhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!