KWSP mohon maaf, akui berlaku kesilapan teknikal
SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon maaf susulan berlaku kesilapan teknikal pada paparan status permohonan i-Sinar Online kategori 2 pada Ahad.
KWSP menerusi Facebook memaklumkan, pihaknya sedang berusaha untuk mengatasi kesulitan yang timbul.
"Ahli-ahli KWSP boleh menyemak semula status permohonan pada 8 Februari bermula jam 8 pagi.
"Segala kesulitan amat dikesali," tulisnya.
Pada Ahad, rata-rata pencarum yang membuat semakan status i-Sinar Online menerima 'khabar gembira' itu apabila dimaklumkan permohonan mereka diluluskan.
Bagaimanapun, berita gembira itu tidak bertahan lama apabila kurang tempoh 24 jam, KWSP tampil dengan kenyataan memohon maaf bahawa berlaku kesilapan teknikal pada paparan status permohonan i-Sinar Online.
Berikutan itu, rata-rata pencarum melahirkan rasa kecewa seolah-olah mereka dipermainkan.
Tambahan lagi semakan pada Isnin menunjukkan paparan permohonan i-Sinar Online mereka kembali kepada status 'permohonan anda sedang diproses'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!