Rakyat Malaysia risau kualiti pendidikan akibat Covid-19
SHAH ALAM - Satu kaji selidik firma EMIR Research yang dijalankan pada suku keempat 2020 (4Q20) bahagian dua mendapati bahawa rakyat Malaysia risau terhadap kualiti pendidikan negara susulan Covid-19 melanda negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, sebanyak 79 peratus daripada jumlah keseluruhan memberi respon risau manakala selebihnya ialah tidak pasti dan tidak risau.
Katanya, kumpulan etnik Melayu dan bumiputera serta India menunjukkan tahap kebimbangan lebih tinggi daripada responden Cina berkaitan tahap kualiti pendidikan negara
Selain itu, kajian EMIR Research juga mendapati sebanyak 81 peratus responden risau mengenai kehilangan pekerjaan manakala 79 peratus responden risau tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi semasa pandemik Covid-19.
“Berdasarkan kedua-dua item tersebut, responden di bandar lebih ramai menunjukkan tahap risau berbanding dengan responden yang berada di luar bandar.
“Selain itu, sebanyak 75 peratus risau berkaitan dengan masalah kesihatan dan juga tekanan yang berlaku kepada mereka sepanjang pandemik Covid-19 manakala 18 peratus tidak pasti dan 7 peratus tidak risau,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam kajian sama, mereka yang memperoleh pendapatan RM3,001 hingga RM5,000 menunjukkan kadar risau lebih tinggi berbanding golongan berpendapatan rendah atas masalah berkaitan Covid-19 termasuk kualiti penjagaan kesihatan.
Sementara itu, Rais Hussin turut menegaskan rakyat Malaysia mula menunjukkan tanda-tanda ‘worry fatigue’ setelah setahun hidup dengan wabak itu dan menyebabkan berlaku penurunan terhadap National Worry Index (NWI) berdasarkan kaji selidik firma EMIR Research.
Menurutnya, NWI pada suku keempat 2020 (4Q20) menunjukkan penurunan yang mana lebih sedikit responden bersetuju dengan cadangan bahawa hidup akan menjadi lebih baik.
“Bacaan baru NWI untuk 4Q20 berada pada 0.7603 dengan penurunan mendadak ke tahap yang lebih rendah daripada sebelumnya. Namun ia masih berada kalam kelompok kerisauan yang maksimum.
“Secara keseluruhan, pada 4Q20, NWI menurun lebih banyak dalam kumpulan responden di luar bandar daripada kumpulan di bandar.
“Terdapat perbezaan besar mengenai pekerjaan, kos sara hidup dan kebimbangan yang berkaitan dengan ekonomi. Penduduk luar bandar dan orang tua kelihatan kurang peduli terhadap aspek-aspek ini daripada rakan-rakan mereka yang lebih muda dan berada di bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Rais turut menjelaskan kebimbangan keselamatan negara masih menjadi kebimbangan tertinggi responden sejak suku ketiga tahun 2020.
Katanya, tinjauan itu juga mendapati bahawa lebih ramai responden berumur 30 tahun ke bawah menganggap Belanjawan 2021 tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat.
"Lebih banyak responden yang berpendidikan tinggi bersetuju bahawa belanjawan tersebut memenuhi keperluan rakyat, walaupun mereka merasakan bahawa dana untuk kumpulan rentan sepatutnya lebih tinggi.
“Mereka yang berumur 41 tahun ke atas lebih bersetuju daripada kumpulan usia yang lebih muda terhadap cadangan yang dicadangkan bahawa Belanjawan 2021 untuk mempunyai peruntukan yang tinggi bagi perbelanjaan kontroversial dan tidak penting serta digunakan sebagai politik,” katanya.
Penyelidikan yang dijalankan pada Disember lalu itu telah mendapat 1,976 responden di seluruh negara dan antara objektif penyelidikan tersebut adalah untuk menggambarkan kebimbangan rakyat dan mengesan perubahan dalam NWI.
Rais berkata, kaedah kualitatif iaitu perbincangan secara berkumpulan dan kuantitatif melalui borang soal selidik telah digunakan dalam penyelidikan tersebut bagi memastikan tinjauan mendapat hasil yang lebih saintifik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!