Kilang bebola ikan kotor, jijik diserbu
KEPALA BATAS - Sebuah kilang pemprosesan bebola ikan di sini diarah tutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan selepas lipan, lipas, lalat dan najis tikus ditemukan di premis berkenaan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid yang mengetuai Ops Tegar berkata, selain lipas dan lalat yang hinggap pada makanan, pihaknya juga menemukan lipan di dalam tong penyimpanan barang mentah dan najis tikus di dalam stor penyimpanan barang di situ.
"Walaupun produk yang dihasilkan itu tidak halal, kami bertanggungjawab untuk menjaga hak dan kebajikan masyarakat bukan Islam dalam membeli makanan yang selamat dan bersih.
"Ketika serbuan, kami dapati proses penghasilan (produk) di atas lantai dipenuhi dengan lalat dan lipas kerana tidak bertutup. Kami risau berlaku keracunan makanan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan serbuan di sini pada Isnin.
Pihaknya turut menemukan bungkusan produk bebola ikan yang dicampur dengan produk berasaskan khinzir yang tidak dilabelkan dalam bahasa Melayu yang melanggar Peraturan 10 Akta Makanan 1983, dan boleh mewujudkan kekeliruan antara pembeli kerana produk itu dijual di pasar basah seluruh Pulau Pinang.
Beliau berkata kilang yang telah beroperasi selama 50 tahun itu telah diserbu dua kali pada tahun lalu dan telah diberi amaran secara lisan atas kesalahan kebersihan yang sama.
Tambahnya, BKKM turut mengeluarkan tiga notis kompaun di bawah Peraturan 32 Akta Makanan 1983 kepada pekerja-pekerja kerana gagal mematuhi peraturan iaitu tidak memakai kasut, apron dan majoriti daripada mereka tidak disuntik tifoid.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang yang turut serta dalam operasi tersebut, telah mengeluarkan notis kompaun dan merampas kira-kira 45 paket minyak masak satu kilogram (kg) bersubsidi yang disimpan tanpa kebenaran pihak berkuasa yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 terhadap pemilik kilang yang sama.
Dalam pada itu, Ops Tegar pada Isnin telah mengeluarkan lapan notis kompaun yang bernilai RM4,100. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!