Hotel, restoran antara 331 premis terima notis keselamatan kebakaran
TELUK INTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengeluarkan sebanyak 360 notis kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 331 premis di empat daerah iaitu Batang Padang, Muallim, Hilir Perak dan Bagan Datuk sepanjang tahun lalu.
Ketua Zon Empat JBPM Perak, Khairil Adli Zakaria berkata, notis di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 itu membabitkan pemeriksaan di pusat membeli-belah, dewan perhimpunan, asrama, hotel dan restoran.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan untuk memastikan semua pemilik atau pengurusan premis tidak menghalang laluan keluar bagi tujuan kecemasan terutama ketika musim perayaan.
"Laluan keluar antara elemen penting kerana ia perkara utama dicari orang awam jika berlaku kebakaran di premis berkenaan.
"Jadi kita perlu pastikan laluan di premis-premis ini tiada sebarang halangan yang disebabkan peralatan, barang-barang, rak mahupun kiosk sementara," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan keselamatan kebakaran bangunan sempena Tahun Baharu Cina 2021 di Pasaraya The Store di sini pada Isnin.
Beliau berkata, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas 54 premis dengan sebahagian besar membabitkan pasar raya berikutan musim perayaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, berlaku pertambahan peralatan dan jualan yang boleh menghalang laluan kecemasan.
"Contohnya di pasar raya, ketika musim perayaan sudah tentu banyak jualan dianjurkan dan ia pasti melibatkan pertambahan peralatan yang mungkin akan menghalang laluan kecemasan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!