Roy cari rezeki tampung keluarga
LAGU Diari Mimpi, Kau Ratnaku telah melonjakkan nama Roy sebagai penyanyi pujaan suatu ketika dahulu.
Mengimbau era kegemilangan, Roy merupakan antara penyanyi hebat tanah air yang sering dijemput ke istana, majlis-majlis besar kerajaan dan terkenal kerana dendangan lagu-lagu patriotik.
Kehilangan dari radar hiburan ibarat dirinya seperti sudah berhenti menyanyi. Namun sebaliknya, Roy masih memperjuangkan nasib sebagai penyanyi di Pusat Beli-belah AEON, Setiawangsa.
Ketika Sinar Harian bertandang menyaksikan sendiri persembahannya di satu ruang khas yang diberikan, suaranya masih berbisa.
Selesai sahaja persembahan sejam pertama, Roy atau nama lengkap Mohammed Rauzan Alwi, 55, berkongsi mengenai kembara seninya.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pensyarah sambilan di Universiti Kebangsaan Malaysia, namun dah kontrak tamat dan tidak disambung.
“Dalam usia saya sekarang, siapa yang nak ambil bekerja?
“Oleh sebab itu, dengan cara inilah saya mencari rezeki. Dapat beberapa ALLAH nak bagi itu alhamdulillah. Campur dengan duit sebagai tutor, dapatlah tampung kehidupan keluarga.
“Selain itu, saya juga ada buat kelas vokal secara individu atau berkumpulan terhad kepada lima orang di studio berhampiran yang akan disewa,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Menurut Roy, dia sudah mengembara dalam dunia busking ini sekitar dua tahun lalu dan mula aktif busking di pusat beli-belah itu pada Jun lalu, setiap hari Khamis sehingga Ahad.
“Mula-mula nak mengenali dunia busking ini, saya berenam, lama-lama bila dah nampak caranya, saya usaha sendiri pula.
“Bila dah bergiat aktif sebagai penyanyi jalanan ini, ada juga segelintir peminat yang terkejut bila melihat saya.
“Tetapi mereka faham. Kadang-kadang saya berikan kad kepada pengunjung supaya kalau ada majlis bersesuaian bolehlah jemput saya untuk menyanyi.
“Dalam erti kata lain, promosi diri balik,” katanya yang turut berkebolehan mengacarakan majlis.
Persaingan sengit
Gara-gara lambakan pendatang baharu, Roy mengakui terasa seakan tenggelam.
“Lima tahun yang lalu saya ada buat lagu rentak jazz tetapi kurang mendapat sambutan.
“Bila fikir nak tampilkan album atau satu lagi single baharu pun beribu juga nilainya jika mahukan hasil yang bermutu. Melainkan ada yang melihat seorang penyanyi itu boleh dijual atau invest.
“Nak bersaing dengan bakat baharu pun saya sudah berusia,” katanya kali terakhir mengadakan persembahan berskala kecil di UM pada Disember lalu.
Bapa kepada tiga anak, Mohammad Ridhwan, 29, Mohammad Rashiddin, 23 dan Siti Aisyah, 21, mengakui pada awal ramai memberi persepsi negatif apabila melihat dia busking.
“Bukan sahaja masyarakat tetapi saya juga segan sebab bila sebut busking, ada orang yang berikan tanggapan buruk.
“Kadang bimbang juga saya orang pandang macam peminta sedekah, tidaklah ada salahnya, cuma penghinaan yang saya tak sanggup terima. Tetapi lama-lama masyarakat faham dan tak semuanya macam itu,” akhiri Roy yang dilihat masih sihat dan bertenaga ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!