Harga cili merah, bawang terkawal setakat ini: KPDNHEP
KUALA LUMPUR - Tiada kenaikan harga bagi barang kawalan setakat ini terutamanya cili merah dan bawang menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dalam tempoh seminggu ini, kementerian tidak menerima sebarang laporan berhubung kenaikan harga barang.
“Sekarang harga cili merah itu di tahap berpatutan, tiada insiden naik harga, sebenarnya turun pula.
"Harga bawang memang dah stabil, minggu lepas kami berjumpa pemborong bawang besar yang mengimport dari India dan mereka memberi jaminan bekalan bawang dalam beberapa minggu akan datang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Borong NSK Kuchai Lama di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai perbincangan membenarkan sektor perniagaan yang belum dibuka untuk beroperasi semula, Nanta berkata, pengumuman berita baik mungkin akan dibuat dalam masa terdekat.
ARTIKEL BERKAITAN: 16 barangan disenarai dalam SHMMP Tahun Baharu Cina
Bagaimanapun beliau mengingatkan semua pihak agar mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Jadi jangan risau, sebab kerajaan mengetahui keperluan perniagaan ini dibuka.
"Selama setahun kita menghadapi Covid-19, sektor dan subsektor peruncitan bukan kluster yang mencatatkan jumlah (kes Covid-19) yang besar, ia satu sektor ekonomi yang tidak setinggi kes sektor seperti pembinaan, pembuatan dan perkilangan,“ katanya.
Sementara itu, KPDNHEP memberi jaminan bekalan ayam daging mencukupi walaupun sebuah kilang pengeluar ayam utama negara diarah tutup baru-baru ini.
Alexander Nanta berkata, bagi tujuan kelangsungan pengedaran bekalan, pihaknya mengarahkan sebuah kilang pengeluar ayam di Pedas, Negeri Sembilan untuk membantu memproses pengeluaran ayam daging.
“Pengeluaran bekalan ayam daging tetap stabil dengan pengeluaran oleh kilang lain yang masih beroperasi seperti biasa dan dapat memenuhi keperluan pasaran.
“Berdasarkan rekod, tiada sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan ayam di pasaran yang diterima KPDNHEP di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Sabtu lalu, kilang pemprosesan ayam di Serkam, Melaka diarah tutup selepas 604 pekerjanya disahkan positif Covid-19 sejak saringan dilakukan pada 1 Februari lalu.
Mengulas lanjut, Nanta berkata, langkah itu diambil hasil pemeriksaan dan penelitian terhadap operasi kilang terbabit bagi menentukan strategi serta tindakan susulan sebagai usaha memastikan bekalan ayam tidak terjejas.
Katanya, KPDNHEP secara berterusan mengadakan libat urus dengan pihak industri ayam daging dan telur bagi menyelia operasi pengeluaran untuk memastikan kestabilan bekalan dari masa ke masa.
Bagaimanapun beliau mengingatkan pemain industri mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang beroperasi selain tanggungjawab pengusaha menyaring pekerja dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.
Selain itu, Nanta turut menasihatkan agar pengeluar, pembekal dan peruncit tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam ketika ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!