Ingkar SOP: Projek pengubahsuaian hotel diarah henti kerja
KEPALA BATAS - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Pulau Pinang mengeluarkan arahan berhenti kerja terhadap kontraktor utama projek pengubahsuaian sebuah hotel di Persiaran Bertam di sini pada Isnin.
Pengarahnya, Zahidi Hashim berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya mendapati kontraktor projek gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tapak pengubahsuaian hotel terbabit.
Menurutnya, notis tersebut berkuatkuasa bermula Isnin sehingga Khamis, namun akan disambung sekiranya pihak kontraktor masih tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Selain tidak mematuhi SOP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak kontraktor utama juga gagal menunjukkan permit untuk membina rumah kongsi dalam kawasan pembinaan dan gagal menunjukkan keputusan ujian saringan Covid-19 pekerja warga asing.
"Kita juga meminta pihak kontraktor utama mengemukakan maklumat yang diperlukan dan sepanjang tempoh itu, mereka tidak dibenarkan menjalankan sebarang aktiviti di tapak ini. Kita tak nak apa-apa aktiviti sepanjang notis ini berkuatkuasa," katanya ketika ditemui di tapak pengubahsuaian hotel di sini pada Isnin.
Beliau berkata, keadaan dalam rumah kongsi di tapak tersebut didapati berada dalam keadaan tidak bersih selain pengudaraannya yang tidak baik.
"Ketika pemeriksaan mendapati bilik mereka sangat sempit dan didiami oleh empat hingga lima orang.
"Selain tidak bersih, pengudaraan dalam bilik itu juga tidak berada dalam keadaan yang baik dan ia salah satu penyebab berlakunya penyebaran pandemik Covid-19 dengan lebih cepat," katanya.
Terdahulu, polis memeriksa 40 warga asing di sebuah tapak pengubahsuaian hotel di Persiaran Bertam di sini dalam serbuan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara pada pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, daripada jumlah yang diperiksa, hanya 11 daripada mereka ditahan kerana tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah.
"Kita memeriksa 40 orang warga asing yang mana, hanya 11 daripada mereka ditahan kerana tiada permit kerja yang sah. Siasatan mendapati, jumlah keseluruhan pekerja asing di sini lebih 100 orang, namun kira-kira 60 daripada mereka berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan.
"Secara keseluruhannya, tapak pengubahsuaian hotel ini tidak mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN. Selain itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan notis amaran kepada majikan kerana gagal menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pekerjanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!