Keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur terkesan akibat PKP 2.0

Infografik kajian yang dilakukan UNICEF dan UNFPA
Infografik kajian yang dilakukan UNICEF dan UNFPA
A
A
A

SHAH ALAM - Pandemik Covid-19 terus memberi kesan negatif kepada keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur walaupun kerajaan mengumumkan beberapa usaha bagi mengurangkan tekanan akibat pandemik itu.

Satu kajian yang dilakukan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Disember lalu mendapati separuh isi rumah menunjukkan kemerosotan sosio-ekonomi.

Wakil UNICEF di Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustafa Sarwar menjelaskan, data terbaru daripada Families on The Edge menunjukkan walaupun beberapa keluarga yang terkesan telah mulai pulih namun yang lain terus merosot dan hampir mencapai kemuncak pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

"Kita perlu memikirkan semula isu perlindungan sosial bagi golongan yang paling rentan termasuk memberi bantuan sokongan pendapatan untuk keluarga berpendapatan rendah dan penyediaan bantuan sara hidup terutama kepada mereka yang bekerja sendiri.

“Kami telah memberikan sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuhkan dasar dan program untuk keluarga yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, tinjauan tersebut juga mendapati kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah meningkat dua kali ganda kepada 15 peratus berbanding tiga bulan sebelumnya dan satu daripada tiga orang dewasa dalam isi rumah yang terlibat masih menganggur.

Bagi tahap pendapatan dalam kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita dan orang kelainan upaya (OKU) pula, masing-masing menyumbang 24 peratus dan 36 peratus lebih rendah berbanding akhir tahun 2019.

Menurut kenyataan itu, pengurangan pendapatan yang dialami oleh sebilangan besar responden mengakibatkan kemiskinan berterusan dalam kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujar kenyataan itu, kadar kemiskinan di antara sampel kajian, kekal pada 42 peratus pada bulan Disember dengan kadar yang lebih tinggi dalam kalangan isi rumah yang diketuai OKU (55 peratus) dan isi rumah yang diketuai wanita (61 peratus).

Tambah kenyataan tersebut, ramai isi rumah yang pendapatannya agak tinggi masih di garis kemiskinan dan mengakibatkan mereka mengalami kesukaran untuk memenuhi keperluan asas.

Dalam pada itu, wakil UNFPA di Malaysia Najib Assifi berkata, dinamika sosial keluarga tersebut akan berubah jika mereka melakukan yang terbaik untuk mengatasi keadaan ekonomi yang semakin buruk.

"Dengan peningkatan situasi yang memburukkan lagi masalah kesihatan mental, ia mula membentuk kehidupan tidak sihat dalam persekitaran, secara psikologi dan kadang-kadang secara fizikal.

"Tiada yang lebih terjejas daripada kanak-kanak, mereka yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan tentunya individu yang menjaga mereka," jelasnya.

Kajian yang dilakukan UNICEF dan UNFPA itu mengambil masa enam bulan melibatkan kajian sosio-ekonomi, wawancara dan komponen fotografi yang mewakili komponen kanak-kanak.

Kajian tersebut juga bertujuan menghasilkan pandangan mengenai kesan krisis yang disebabkan oleh wabak Covid-19 pada keluarga berpendapatan rendah dengan tujuan perbincangan awam dan dasar sekali gus selari misi negara yang mahu mengurangkan kesan krisis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!