Lima negara terkuat dunia

A
A
A

STATUS sebagai negara kuasa sangat penting kerana selain menjadi aras kekuatan ketenteraan dan pengaruh, ia juga boleh dijadikan sebagai kayu pengukur terhadap dominasi percaturan dalam politik antarabangsa.

Asas sebagai negara kuasa masih lagi terletak pada kekuatan ketenteraan bagi memastikan keselamatan sesebuah negara. Faktor itu melibatkan aset pertahanan sebagai aspek cegah rintang untuk menolak ancaman luar.

Laman portal Global Firepower dan Military.com pada 2020 menyenaraikan lima negara terkuat di dunia bersandarkan empat indikator iaitu kekuatan ketenteraan, kewangan, keupayaan logistik dan keupayaan berhadapan ancaman.

Amerika Syarikat (AS) masih mendahului sebagai negara kuasa paling dominan walaupun jika dilihat pada atas kertas, China seakan-akan menjadi ancaman paling hampir kepada negara tersebut. Bagaimanapun, dengan paras kekuatan tiga kali ganda melebihi China sudah cukup untuk melihat sejauh mana kedudukan Tembok Besar sekiranya ingin menghampiri Washington.

Ia memiliki lebih banyak aset udara berbanding mana-mana negara di dunia ini iaitu sebanyak 2,085 pesawat tempur, 967 helikopter tempur dan lebih 1,500 pelbagai jenis pesawat lain.

Keupayaan darat pula ditunjangi kira-kira 35,000 buah kereta kebal dan pelbagai jenis kenderaan armor, 11 buah kapal induk berkuasa nuklear yang setiap satunya boleh membawa 80 buah pesawat tempur, selain lebih 100 kapal perang.

Washington telah memperuntukkan RM3.016 trilion bagi bajet ketenteraan pada tahun lalu. Selain kepesatan ekonomi, tiga asas penting untuk mengukur kekuatan AS adalah geografi, demografi dan institusi politik.

Dari aspek geografi, AS hanya bersempadan dengan dua negara iaitu Kanada dan Mexico, manakala China pula mempunyai 14 buah negara berjiran termasuk berhadapan isu tuntutan bertindih dengan tiga jirannya.

Artikel Berkaitan:

Pesaing AS adalah Rusia yang mempunyai jumlah kereta kebal yang paling banyak di dunia iaitu sebanyak 13,000 buah, namun sebahagian besarnya masih merupakan kereta kebal berteknologi terdahulu. Rusia juga mempunyai kira-kira 1.03 juta anggota tentera, selain 27,038 kenderaan perisai, 6,083 unit sistem artileri mudah gerak, 873 pesawat tempur dan 531 helikopter tempur, manakala tentera lautnya memiliki 62 kapal selam dan 102 kapal perang.

Dengan belanjawan pertahanan kira-kira RM193 bilion, kekuatan Rusia nyata tidak sehebat semasa era Soviet tetapi pengaruh Moscow dalam konflik bersenjata di beberapa negara proksinya cukup untuk menunjukkan kepentingan negara tersebut.

Negara paling kuat di Asia, China menduduki tempat ketiga dengan memiliki anggota tentera paling ramai di dunia seramai 2.18 juta orang, selain mempunyai angkatan laut paling besar.

Ia memiliki dua kapal induk, 74 buah kapal selam, 52 frigat dan 36 kapal pemusnah. Hasrat China untuk menjadi kuasa dominan di rantau ini sangat jelas berikutan pembabitan dalam pertikaian di Laut China Selatan.

Dengan kira-kira 33,000 kenderaan perisai, 3,500 kereta kebal, 1,200 pesawat tempur dan 281 helikopter, Beijing membelanjakan kira-kira RM953 bilion untuk belanjawan pertahanannya. India yang berada pada tangga keempat dengan 1.4 juta anggota tentera disifatkan sebagai salah sebuah negara dengan kekuatan ketenteraan yang mantap. Ia mengoperasikan 4,292 kereta kebal, 4,060 unit artileri dan 900 pelbagai jenis pesawat tempur. Berbanding negara jirannya China, India memiliki juruterbang tempur berpengalaman, selain sangat mahir dalam pelaksanaan operasi udara di kawasan beriklim ekstrem.

Jepun pula mempunyai 247,160 anggota tentera yang dilihat kecil tetapi memiliki aset tempur berteknologi tinggi khususnya 330 pesawat pejuang, selain sistem pertahanan udara yang ampuh.

Sebagai negara kuasa ekonomi ketiga dunia, ia juga mempunyai pasaran domestik yang besar menerusi populasi kira-kira 126 juta penduduk. Jepun juga mempunyai pengaruh serta kepentingan ekonomi khususnya di Asia Tenggara.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!