Bersediakah kita divaksin?

Setiap individu perlu menerima dua kali suntikan untuk mendapat hasil yang berkesan. -Gambar hiasan
Setiap individu perlu menerima dua kali suntikan untuk mendapat hasil yang berkesan. -Gambar hiasan
A
A
A

DI Malaysia sehingga 6 Februari, sebanyak 857 kematian dicatatkan, menjadikan vaksin sebagai produk yang amat dikehendaki sebagai kaedah rawatan pencegahan awal untuk memastikan Covid-19 terkawal.

Sehingga 13 Januari, kira-kira 32 juta orang di seluruh dunia telah disuntik, sekali gus menunjukkan vaksin diterima masyarakat global sebagai sebahagian penyelesaian masalah yang dihadapi.

Adakah vaksin semata-mata dapat meredakan penularan Covid-19? Tidak, kerana vaksin adalah satu ikhtiar yang sangat penting, namun pelengkapnya adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP), penjagaan kebersihan dan cakna kesihatan diri.

Vaksin yang diterima seharusnya berkualiti, selamat dan berkesan, bertepatan dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan 70 peratus rakyat Malaysia akan divaksin.

Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi.

Bekalan vaksin fasa pertama dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari ini. Bekalan awal adalah sebanyak 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia secara percuma dengan dua dos seorang.

Setiap individu perlu menerima dua kali suntikan untuk mendapat hasil yang berkesan. Terdapat empat matlamat imunisasi Covid-19 iaitu melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan.

Berkaitan penerimaan vaksin dalam kalangan rakyat, tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara dalam talian terhadap 212,000 responden pada 21 hingga 28 Disember lalu mendapati, sebahagian besar bersetuju menerima suntikan.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, 67 peratus bersetuju, 17 peratus tidak pasti dan 16 peratus tidak bersetuju. Peratusan yang tidak pasti dan tidak bersetuju berpunca daripada kerisauan terhadap keberkesanan vaksin dan kesan sampingannya walaupun kerajaan memberi jaminan ia selamat serta tiada kesan sampingan jangka panjang.

Fasa pertama akan diberikan kepada petugas barisan hadapan, fasa kedua untuk kumpulan berisiko tinggi atau berpenyakit kronik serta warga emas berumur 60 tahun ke atas dan fasa terakhir kepada orang awam berusia 18 tahun dan ke atas.

Cabaran

Tahap keseluruhan keberkesanan vaksin sangat bergantung kepada jumlah penduduk yang menerima vaksin itu nanti. Sekurang-kurangnya 60 hingga 70 atau 20 hingga 23 juta rakyat perlu diberikan vaksin supaya imuniti kelompok dapat terbentuk dalam masyarakat dan penduduk.

Vaksin diwajibkan atau secara sukarela? Merujuk Perkara 6, Deklarasi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2005, persetujuan seseorang untuk menerima rawatan (termasuk vaksinasi) adalah perlu.

Namun, cabaran utama yang bakal dihadapi Malaysia adalah logistik kerana vaksin Covid-19 memerlukan sistem rantaian suhu sejuk yang baik iaitu sistem pengawalan suhu daripada peringkat pengeluaran, pengangkutan sehinggalah pengagihan.

Sebarang perubahan suhu akan menjadikan vaksin tersebut rosak dan tidak berkesan jika diberi kepada manusia. Sudah pasti, kerajaan perlu merancang dengan teliti dari segi pengangkutan vaksin, logistik penyimpanan, pengagihan kepada yang layak dan latihan kepada staf yang mengendalikan vaksin.

Tidak kurang juga mempersoalkan keselamatan dan kesucian kandungan vaksin. Cabaran lain adalah mengekang penularan berita palsu dan maklumat kurang tepat serta penentangan oleh golongan antivaksin.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan kumpulan antivaksin secara umum adalah antara 10 ancaman kepada aspek kesihatan ketika ini bagi menangani Covid-19. Kesemua cabaran itu sangat penting ditangani dengan betul kerana ia berpotensi menggagalkan usaha mengawal penularan Covid-19 di Malaysia.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!