KPDNHEP cadang gajet khas PdPR
SHAH ALAM- [LAPORAN KHAS] Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menetapkan satu model khas bagi setiap gajet elektronik yang memenuhi spesifikasi minimum keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, satu perbincangan di antara kementerian dengan pihak syarikat pembekal gergasi barangan peranti berkenaan telah diadakan minggu lalu.
Jelas beliau, objektif perbincangan itu bertujuan membolehkan kerajaan menetapkan penghasilan satu model khas bagi setiap item iaitu komputer, komputer riba, tablet dan telefon pintar yang berfungsi sepenuhnya bagi tujuan PdPR.
Melalui kaedah itu, beliau yakin kerajaan mampu memastikan setiap gajet tersebut bukan sahaja dijual pada harga minimum, bahkan dapat diagihkan kepada pelajar kurang berkemampuan secara percuma.
“Buat masa ini, idea pihak kami masih di peringkat perbincangan dengan beberapa syarikat pembekal peranti gergasi dan masih belum dimuktamadkan.
“Syarikat-syarikat berkenaan diminta untuk membuat satu kertas cadangan berkenaan penetapan jenis item peranti, harga, spesifikasi dan volume pengeluaran yang paling bersesuaian untuk dijadikan produk khas.
“Sekiranya segala urusan berjalan lancar, kami menjangkakan inisiatif itu akan dapat dimuktamadkan pada pertengahan tahun ini,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian sewaktu menjelaskan inisiatif terkini kerajaan bagi menangani masalah kenaikan harga barangan peranti elektronik untuk keperluan PdPR yang melampau serta bekalan produk yang terhad ketika ini.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan aduan golongan ibu bapa dan beberapa persatuan pengguna merungut harga barangan gajet PdPR melambung tinggi sehingga mencecah 70 peratus di pasaran.
Rosol berkata, pihaknya mengakui idea penghasilan barangan gajet khas bagi tujuan PdPR itu sedikit sebanyak mengambil inspirasi pemberian Netbook 1Malaysia yang pernah dilaksanakan kerajaan suatu ketika dahulu.
Menurutnya, inisiatif pengeluaran barangan peranti khas untuk PdPR itu juga dijangka memudahkan kerajaan untuk menetapkannya sebagai barangan keperluan, sekali gus membolehkan satu harga siling ditetapkan.
“Terpulang kepada kerajaan untuk meletakkan jenama apa. Namun jenama itu sebaiknya mencerminkan identiti negara.
“Bagi saya, inisiatif ini adalah satu projek jangka masa panjang bagi memudahkan integrasi pelajar sekolah dengan sistem PdPR yang dijangka menjadi keutamaan pada masa hadapan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!