Pengusaha van sekolah kecewa terima 'surat cinta' dari bank

Abibah menunjukkan surat daripada peguam yang memintanya menjelaskan tunggakan pinjaman bank ketika ditemui Sinar Harian di Seremban pada Ahad.
Abibah menunjukkan surat daripada peguam yang memintanya menjelaskan tunggakan pinjaman bank ketika ditemui Sinar Harian di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - “Bank cakap tunggu mereka hubungi semula untuk lanjutan moratorium, tapi tiba-tiba 'surat cinta' sampai rumah,” kata seorang pengusaha van sekolah, Abibah Hussin, 62, yang terkejut apabila menerima notis tunggakan peguam minggu lalu.

Menurut Abibah, menerusi surat berkenaan, dia diberi tempoh tujuh hari untuk menjelaskan tunggakan pinjaman bank sebanyak RM2,249.89.

Katanya, pada Oktober tahun lalu, dia telah ke bank untuk membuat permohonan melanjutkan moratorium kerana pendapatannya terjejas susulan penutupan sesi persekolahan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Waktu itu bank ambil segala maklumat diperlukan dan beritahu akan hubungi semula. Tapi tunggu punya tunggu, akhirnya surat peguam yang sampai rumah.

“Saya telah pun dapatkan penjelasan bank dan dikehendaki mengisi satu borang berkenaan pinjaman serta menyerahkan beberapa dokumen.

“Cuma yang saya tak puas hati kenapa bank tak maklumkan prosedur sebenar dari awal. Lagipun dalam tempoh sekarang bukan senang kita nak keluar masuk bank,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Abibah berkata, dia tidak mempunyai masalah menjelaskan bayaran pinjaman bank setiap bulan jika sesi persekolahan berjalan lancar.

Malah katanya, rekod bayaran pinjamannya sebelum ini juga bersih.

Artikel Berkaitan:

Namun, kata Abibah, disebabkan sesi persekolahan tidak menentu sekarang, dia terputus sumber pendapatan dan perlu memikirkan tempoh 16 bulan lagi untuk menjelaskan pinjamannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!