Penantian sekolah baharu berakhir

Maszlee melakukan giimik majlis pecah tanah di tapak projek Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih
Maszlee melakukan giimik majlis pecah tanah di tapak projek Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih
A
A
A

SEMENYIH - Penantian penduduk di Taman Pelangi sejak tujuh tahun lalu untuk mempunyai sebuah Sekolah Kebangsaan berakhir, selepas bangunan tersebut dijangka siap pada 19 Oktober tahun depan.

Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, kerajaan telah meluluskan pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan Semenyih pada Oktober lalu.

"Kos projek ini adalah sebanyak RM20.7 juta dan tempoh pelaksanaannya selama 106 minggu bermula 22 Oktober lalu," katanya.

Menurutnya kejayaan projek tersebut adalah hasil perjuangan Persatuan Penduduk Taman Pelangi, Semenyih sejak 2012.

“Ia hanya berjaya direalisasikan setelah kerajaan PH mengambil alih dan meluluskan pembinaan sekolah tersebut pada Oktober lalu,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke tapak projek Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi Semenyih, di sini, hari ini.

Beliau berkata, skop projek pula, bangunan ini mempunyai 24 bilik darjah dan lain-lain kemudahan bagi menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondunsif dan sempurna kepada pelajar.

“Ia akan memberi manfaat kepada lebih 700 murid sekolah berkenaan,” katanya.

Maszlee berkata, pihaknya turut berpesan kepada kontraktor menyiapkan projek ini dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Bagus, jika projek ini dapat disiapkan lagi awal daripada tempoh, kita juga tidak mahu projek sakit, projek lambat siap atau projek terbengkalai,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Maszlee memaklumkan dibawah RMK 11, peruntukan sejumlah RM67.58 juta telah diluluskan bagi projek pendidikan di Selangor.

“Selaras dengan dasar kerajaan melalui Pekeliling Perbendaharaan, kita telah menetapkan semua projek baharu RMK 11 bermula tahun ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya dan melalui proses tender terbuka,” katanya.

Beliau berkata, daripada peruntukkan RM67.58 juta itu, peruntukkan sebanyak RM63 juta adalah untuk projek pembinaan sekolah baharu dengan 42 bilik darjah untuk Sekolah Menengah Bukit Mahkota Bangi daerah Hulu Langat.

“Ia mampu menempatkan seramai 1,260 murid di sekolah itu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!