SJR mengejut di sempadan daerah
PASIR MAS - Sekatan jalan raya (SJR) mengejut di sempadan daerah di negeri ini akan terus dilaksanakan sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, SJR bertujuan melihat tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat.
Menurutnya, sekatan berubah lokasi bagi mengelakkan operasi itu dikesan oleh orang ramai
"Bagaimanapun, SJR di lokasi statik tetap dilaksanakan seperti biasa," katanya selepas meninjau SJR yang dilakukan secara mengejut di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini pada Isnin.
Katanya, SJR bergerak itu bukan bertujuan menakut-nakutkan orang ramai tetapi antara usaha menggalakkan pematuhan SOP PKP 2.0.
Mohamad Roy berkata, sepanjang tempoh PKP 2.0 masih ada masyarakat yang mengambil mudah dengan tidak memohon surat pelepasan untuk rentas daerah.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai mendapatkan surat kebenaran rentas daerah bagi mengelakkan dikompaun
"Sejak PKP 2.0 bermula pada 16 Januari hingga hari ini sebanyak 159 kompaun telah dikeluarkan berkaitan perlanggaran SOP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!