Pulau Pinang benar solat Jumaat, fardu ikut keluasan masjid

Solat fardu dan solat Jumaat di semua masjid dan surau di Pulau Pinang dibenarkan dengan mengikut keluasan ruang berkuat kuasa bermula Selasa.
Solat fardu dan solat Jumaat di semua masjid dan surau di Pulau Pinang dibenarkan dengan mengikut keluasan ruang berkuat kuasa bermula Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN- Solat fardu dan solat Jumaat di semua masjid serta surau di Pulau Pinang dibenarkan dengan mengikut keluasan ruang berkuat kuasa bermula Selasa.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, prosedur operasi standard (SOP) terkini itu turut membenarkan warganegara Malaysia atau pemaustatin tetap untuk solat fardu di semua masjid dan surau.

Menurutnya, ruang solat untuk musafir atau pekerja e-hailing turut disediakan untuk golongan itu menunaikan solat fardu.

"Selain solat fardu, solat Jumaat juga dibenarkan mengikut keluasan masjid atau surau dengan minimum 40 orang. Ia terbuka untuk anak kariah, warganegara tempatan dan pemaustatin tetap sahaja.

"Sementara itu, laungan azan kembali kepada lafaz biasa yang mana sebelum ini laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut kepada 'sollu fi buyutikum' (solatlah di rumah kamu)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahmad Zakiyuddin
Ahmad Zakiyuddin

Beliau berkata, solat jenazah dan urusan pengebumian dibenarkan hanya 30 orang yang terdiri daripada ahli keluarga dan pihak yang menguruskan pengebumian jenazah.

"Solat jenazah perlu dilakukan di petak yang disediakan, manakala aktiviti menziarahi kubur tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, majlis ilmu seperti kuliah Maghrib, bacaan surah Yasin dan tahlil dibenarkan, namun ia hanya dibenarkan dilakukan selepas solat Maghrib hingga solat Isyak sahaja," katanya.

Menurutnya, penceramah dari luar dari Pulau Pinang tidak dibenarkan untuk menyampaikan kuliah di masjid atau surau di negeri ini.

"Bagi khutbah Jumaat pula, hanya khatib yang dilantik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang dibenarkan. Khatib perlu membaca teks yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP).

"Khutbah perlu berlangsung dalam tempoh 10 minit sahaja, yang mana khatib jemputan tidak dibenarkan," katanya.

Ahmad Zakiyuddin berkata, aktiviti lain seperti mesyuarat agung pemilihan jawatankuasa kariah ditangguhkan, manakala akad nikah hanya dibenarkan di pejabat agama daerah.

"Syarat umum lain adalah jemaah perlu berusia lingkungan 12 hingga 70 tahun, mengambil bacaan suhu badan dan mendaftar aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran.

"Semua jemaah perlu memakai pelitup muka, menggunakan sejadah bersaiz besar, tidak dibenarkan bersalaman serta mengambil wuduk di rumah," katanya.

Sebelum ini, Pulau Pinang menangguhkan beberapa aktiviti di masjid dan surau negeri itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 13 hingga 26 Januari.

Namun, minggu lalu solat fardu di semua masjid dan surau dibenarkan dengan maksimum 15 jemaah sahaja selain solat Jumaat juga dibenarkan dilaksanakan di antara 12 hingga 45 jemaah berusia 15 hingga 70 tahun termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan siak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!