Jumlah mangsa banjir Sarawak menurun kepada 486

Keseluruhan 486 mangsa masih berada di PPS pagi Selasa berbanding 528 pada Isnin. - Foto 123RF
Keseluruhan 486 mangsa masih berada di PPS pagi Selasa berbanding 528 pada Isnin. - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak semakin menurun selepas 42 lagi mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing menjadikan keseluruhan 486 mangsa masih berada di PPS pagi Selasa berbanding 528 pada Isnin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa melaporkan, hanya tinggal dua PPS iaitu di SK Tanah Puteh dan Dewan Masyarakat Serian di daerah Serian yang masih beroperasi selepas PPS Dewan Kampung Slabi Entukuh ditutup pada jam 6 petang Isnin.

Sebanyak 338 mangsa banjir daripada 114 keluarga ditempatkan di SK Tanah Puteh, manakala 148 mangsa daripada 52 keluarga berlindung di Dewan Masyarakat Serian.

Serian menjadi daerah tunggal yang masih menghadapi keadaan banjir gelombang ketiga di Sarawak tahun ini sejak episod bencana pertama bermula 13 Januari lepas, diikuti gelombang kedua pada 30 Januari.

Gelombang ketiga banjir di negeri ini tercetus sejak 3 Februari di kawasan tengah dan utara Sarawak sebelum beralih ke kawasan selatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!